
Oleh: Abdullah Zaid
Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membenarkan pengambilkan pekerja asing untuk 3 sektor perkhidmatan kelmarin mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunarajah R. George, pengambilan tenaga luar bagi sektor kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas dapat menyelesaikan kekurangan pekerja tempatan, sekali gus membantu meningkatkan pertumbuhan industri berkenaan yang menjadi peniagaan tradisi masyarakat India.
"Sektor-sektor ini telah menjadi teras kepada usahawan masyarakat India dan ia dapat memupuk persekitaran perniagaan yang baik untuk semua komuniti," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, ketiga-tiga sektor perkhidmatan itu juga penting untuk diperkasakan melalui latihan kemahiran belia tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing pada masa hadapan.
"Penting untuk kita memperkasakan latihan kemahiran belia kita dalam tiga sektor ini melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan penggunaan Tabung Ekonomi Usahawan Niaga (Tekun).
"Oleh itu, komitmen kerajaan untuk memastikan generasi hadapan dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang lengkap perlu disokong," ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau, bagi memastikan sektor perkhidmatan itu tidak dikuasai pekerja asing, garis panduan yang jelas dan ketat perlu dilaksanakan agar peluang usahawan tempatan terutama belia lebih terjamin.
"Saya percaya tindakan tegas harus diambil terhadap mereka yang memajakkan perniagaan mereka kepada warga asing. Perbuatan sebegini bukan sahaja menjejaskan kedaulatan ekonomi kita tetapi juga menghalang peluang usahawan tempatan dan belia," katanya.
Justeru, katanya mana-mana individu warga asing yang didapati menjalankan perniagaan secara tidak sah wajar diusir dan dilarang untuk masuk semula ke Malaysia dalam tempoh lima tahun.
"Ini akan menjadi peringatan tegas komitmen kita mengutamakan kepentingan Malaysia disamping memupuk persekitaran perniagaan yang menghormati peraturan dan kedaulatan negara," katanya lagi.