top of page

Pengambilan dua kali setahun atasi masalah kekurangan guru

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 16
  • 1 min read

ree

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited menangani isu kekurangan guru di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.


Menterinya Fadhlina Sidek (gambar) berkata, langkah proaktif diambil pihaknya bagi mengisi kekosongan guru demi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan dengan berkesan.


Mulai tahun ini jelasnya, proses temu duga dan pengambilan guru tetap akan dilaksanakan sebanyak dua kali setahun, selain sistem permohonan dibuka sepanjang tahun bagi mempercepatkan penempatan guru.


"Sebagai langkah memastikan kekosongan guru tidak menjejaskan PdP, KPM melaksanakan penempatan guru secara interim dan penempatan semula secara bersasar.


"KPM juga menubuhkan Sekretariat Bersama KPM-KPT bagi menyelaras data unjuran keperluan guru secara bersepadu, agar pengeluaran graduan pendidikan universiti awam dan Institut Pendidikan Guru (IPG) menepati keperluan sebenar sekolah,” katanya.


Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Jumaat, menjawab pertanyaan mengenai langkah diambil bagi mengisi kekosongan guru dengan segera.


Sementara itu, mengulas jumlah guru yang bersara di Sarawak, Fadhlina memaklumkan bahawa bagi tempoh 2020 hingga 2025, seramai 4,737 guru bersara wajib, manakala purata 241 guru setahun bersara awal sejak 2020.


Sehubungan itu, bagi mengatasi kekurangan guru di Sarawak, KPM telah melaksanakan pengambilan khas pada 2024, melibatkan pelantikan 1,068 guru yang mula melapor diri ke sekolah pada 13 Februari 2025.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page