Pengalaman pentadbiran, khidmat masyarakat sandaran Azman di Paya Rumput


Pengalaman dalam pentadbiran politik serta rekod khidmat kepada masyarakat menjadi sandaran bagi pengundi untuk memilih calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Azman Abidin di DUN Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mempunyai pengalaman dalam urusan pentadbiran politik selain pernah terlibat secara langsung membantu masyarakat ketika menguruskan kawasan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketua Penerangan KEADILAN Putrajaya, Mohd Hafiz Osman berkata pengalaman berkenaan memberikan pendedahan kepada Azman mengenai keperluan memahami masalah rakyat serta memastikan kebajikan masyarakat mendapat perhatian sewajarnya.
"Antara pengalaman yang boleh diketengahkan ialah usaha membantu penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang memerlukan perhatian dan bantuan.
"Pengalaman ini memberikan pendedahan kepada beliau tentang kepentingan memahami masalah rakyat serta keperluan menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata Azman juga dikenali melalui pendekatan kerja yang mengutamakan keberkesanan iaitu memastikan setiap tugasan dilaksanakan secara terancang, cekap dan memberikan hasil yang bermanfaat.
"Untuk PRN Melaka, pengalaman seperti ini boleh menjadi asas untuk mengenali latar belakang serta rekod khidmat seseorang calon sebelum membuat pilihan.
"Paya Rumput mempunyai pelbagai keperluan masyarakat yang perlu diberikan perhatian termasuk kebajikan penduduk, kemudahan awam, pembangunan setempat, peluang ekonomi dan keperluan golongan belia serta warga emas," ujarnya.
Katanya perhatian ini juga perlu meliputi semua Daerah Mengundi (DM) supaya setiap kawasan dan komuniti mendapat ruang untuk menyampaikan pandangan serta masalah masing-masing.
"Akhirnya, pemilihan seorang wakil rakyat bukan sekadar berjanji ketika pilihan raya.
"Pengalaman, rekod khidmat, kemampuan mendengar suara rakyat dan kesediaan untuk terus bekerja merupakan antara perkara yang wajar dipertimbangkan oleh setiap pengundi," ujarnya.




Comments