Pengakap KL aset penting mendepani cabaran sosial bandar - Dr Zaliha
- Suara Keadilan

- Aug 3
- 1 min read

Gerakan kepengakapan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLScouts) mampu menjadi aset penting dalam mendepani cabaran sosial di kawasan bandar yang pesat membangun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, kekuatan gerakan kepengakapan terletak pada pendekatan berasaskan pengalaman yang membentuk jati diri, disiplin serta nilai kepimpinan.
"Kuala Lumpur merupakan medan sebenar perpaduan rakyat. Di sinilah pelbagai bangsa, agama dan budaya hidup dalam satu ruang yang sama.
"Saya percaya KLScouts mempunyai potensi besar untuk menjadi rakan pembentuk sahsiah dan pengukuh jaringan komuniti dalam menghadapi cabaran sosial bandar sejajar dengan nilai MADANI," katanya di Facebook.
Dr Zaliha yang juga Presiden Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, harapan itu telah disampaikan menerusi ucapan di Majlis Penganugerahan Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLScouts) baru-baru ini.
Majlis berprestij itu turut dihadiri pemimpin-pemimpin pengakap, barisan ibu bapa serta ahli-ahli pengakap dari seluruh Kuala Lumpur, memperlihatkan semangat kesukarelawanan dan kepimpinan akar umbi yang terus subur dalam kalangan generasi muda.
Pada acara itu Dr Zaliha turut dianugerahkan Pingat Peringatan 40 Tahun Majlis Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Anugerah disampaikan Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin itu sebagai penghargaan atas sumbangan dan komitmen Dr Zaliha dalam memajukan gerakan kepengakapan di Wilayah Persekutuan.









Comments