Pengajaran Kolaboratif Tingkat Semula Penguasan Pelajar Selepas Pandemik
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Keadaan dunia yang berubah selepas mengharungi krisis pandemik Covid-19 telah menyaksikan Malaysia tidak terkecuali menerima impak negatif, terutama dalam konteks pendidikan. Kerajaan sebelum ini telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia (PKP) bermula daripada 18 Mac 2020 dan ditamatkan sepenuhnya pada 7 Mac 2022 untuk mengekang penularan pendemik tersebut.
Sepanjang tempoh PKP, sekatan telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu termasuklah dengan menutup semua sekolah secara sepenuhnya. Pengajaran yang sebelum ini dilaksanakan secara fizikal dalam bilik darjah telah beralih kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian dalam tempoh PKP.
Perubahan tersebut telah menjadikan penguasaan pelajar dalam beberapa subjek pendidikan semakin melemah berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD). Laporan tersebut yang dikeluarkan pada tahun 2023 menunjukkan penurunan ketara dalam kalangan pelajar berumur 15 tahun terkait tiga bidang iaitu Matematik, Bacaan dan Sains selepas PKP ditamatkan.
Tingkat semula tahap penguasaan pelajar
Keadaan ini memerlukan Kementarian Pendidikan Malaysia (KPM) melakukan usaha intervensi bagi memastikan tahap penguasaan pendidikan pelajar-pelajar di Malaysia mampu ditingkatkan semula. Justeru KPM telah mencadangkan Kaedah Pengajaran Kolaboratif (Co-Teaching) sebagai pendekatan baru bagi menggalakkan semula penguasaan akademik pelajar.

Pendekatan tersebut bakal dilaksanakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027, guru-guru akan ditugaskan secara berkumpulan untuk mengendalikan sesebuah kelas bagi memastikan tahap kefahaman pelajar dapat dipertingkatkan. Perlaksanaan pendekatan tersebut telah didahului dengan uji rintis terhadap 130 guru, hasil kajian menunjukkan maklum balas positif terhadap pendekatan baharu tersebut.
Pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh KPM ini telah mendapat sokongan positif daripada YAB Dato' Seri Amirudin Bin Shari selaku Menteri Besar Selangor. Beliau yakin bahawa Kaedah Pengajaran Kolaboratif mampu meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah kerana perhatian yang labih besar dapat diberikan kepada pelajar, bukan sahaja pada aspek akademik malah sahsiah.
Kekangan besar bagi seorang guru yang dibebani dengan pelbagai tugasan adalah untuk memberi perhatian yang menyeluruh kepada pembangunan pelajar secara holistik, justeru Kaedah Pengajaran Kolaboratif mampu membahagikan perhatian guru terhadap kedua-dua aspek tersebut.
Kaedah berjaya di negara maju
Kaedah Pengajaran Kolaboratif ternyata berjaya dipraktikkan di negara-negara maju kerana ia tidak menekan persaingan antara guru-guru, sebaliknya ia menumpukan terhadap kerjasama untuk membangunkan pelajar secara bersama. Negara-negara maju yang kini mengamalkan pendekatan tersebut termasuklah Finland, Singapura, Jepun, Kanada dan Australia.
Secara tidak langsung, pendekatan tersebut turut mengurangkan bebanan para guru kerana dokumentasi tugasan yang dikongsi bersama, para guru juga dapat melakukan refleksi bersama untuk memperbaiki teknik pengajaran di dalam kelas.
Usaha yang cuba dilakukan oleh KPM ini seharusnya mendapat dokongan semua pihak, sejajar dengan slogan yang KPM laungkan iaitu “No Child Left Behind” maka Kaedah Pengajaran Kolaboratif sangat membantu mengurangkan jurang pembelajaran antara pelajar pasca-pademik Covid-19.
Pendekatan ini telah disambut baik oleh Menteri Besar Selangor, justeru adalah sangat sesuai untuk KPM mula melaksanakan pendekatan tersebut di Negeri Selangor sebagai langkah permulaan sebelum dikuatkuasakan ke seluruh negara.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor





