Pengajaran Hadis 40 sesuai Perkara 3(1) Perlembagaan
- Suara Keadilan
- Aug 30, 2023
- 2 min read

Pengenalan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam kurikulum sekolah di Malaysia dialu alukan untuk meningkatkan pemahaman guru dan murid muslim akan semangat ihsan serta kasih sayang antara sesama agama atau berlainan agama.
Namun, menurut Senator Abun Sui Anyit, ada perkara yang perlu diterangkan secara lebih menyeluruh dalam pengajaran itu yang masih kurang jelas bagi masyarakat bukan Islam.
"Apa yang perlu penjelasan lanjut dan jaminan adalah kaedah atau frasa "tidak dipaksakan kepada bukan Islam". Ini bermakna guru dan pelajar bukan Islam nampaknya masih dibolehkan mempelajarinya.
"Di sinilah bahagian yang menjadi kerisauan ibu bapa pelajar bukan Islam. Maka perlu diperhalusi dan ada jaminan ianya benar-benar hanya untuk pelajar Islam sahaja," kata senator itu dalam satu kenyataan.
Bagi Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak itu, dengan pengajaran hadis untuk lebih kefahaman kepada pelajar Islam, dicadangkan kerajaan selepas ini membenarkan pengajaran pendidikan agama bukan Islam kepada pelajar non muslim.
Hal itu, katanya, akan meningkatkan lagi pemahaman mereka mengenai kebaikan dalam beragama.
"Kalau boleh kita mencadangkan Kerajaan atau Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan pengajaran agama bukan Islam kepada pelajar-pelajar bukan Islam dengan konsep "untuk bukan Islam Sahaja". Silibus ini boleh disediakan oleh pakar-pakar agama bukan Islam masing-masing.
"Apabila semua pelajar didedahkan dengan agama mereka masing-masing dengan kualiti dikawal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, maka diharap ini akan memupuk nilai kerohanian terbaik pada semua pelajar mengikut agama masing-masing kerana semua agama mengajar ke arah kebaikan.
"Ini boleh dilakukan kerana setakat ini, salah satu subjek yang telah lama ada dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah Pengetahuan Alkitab (Bible Knowledge).
"Maka rakyat di negara ini akan menjadi saling hormat menghormati kerana diajar nilai agama yang betul dan mantap sejak di bangku sekolah lagi," katanya.
Pembelajaran agama pelbagai kaum itu, kata Abun Sui, selari dengan maksud Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu: 3. (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana
bahagian Persekutuan.
Menurut beliau lagi, hal itu juga cara dan bukti Malaysia mempraktikkan kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
"Keikhlasan Kerajaan untuk memperkenalkan Hadis 40 Nawawi ini di sekolah mewajarkan juga kerajaan mempertimbangkan agar agama lain diajar kepada penganut agama mereka masing-masing pada waktu (pengajaran) pelajar Islam sedang belajar Hadis 40 Nawawi ini.
"Ia juga sangat sesuai dengan nilai dan konsep Malaysia Madani iaitu ihsan dan kemanusiaan," katanya lagi.
Kommentarer