Kecam kezaliman Israel serang Iran, jangan persoal mazhab - Dr Mujahid
- Suara Keadilan
- Jun 20
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Serangan ganas dan zalim Israel ke atas negara Islam Iran wajib ditentang habis habisan kerana membuli negara lemah dan menghilangkan nyawa insan tidak berdosa.
Bagi Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, bukan masanya untuk umat Islam Malaysia mempertikaikan perbezaan mazhab Sunni-Syiah dalam isu membabitkan kemanusiaan berhubung perang Iran-Israel.
Sebaliknya, beliau berkata, tumpuan harus diberikan kepada usaha membela mangsa kezaliman atas dasar kemanusiaan.
''Saya nak ulang.. tidak ada masa untuk kita berbincang soal mazhab.. yang ada sekarang ini adalah soal membela siapa yang menjadi mangsa dan kita membelanya atas dasar kemanusiaan.
''Terbukti di sini bahawa kita perlu bersama dengan Palestin dan Iran untuk solidariti kemanusiaan sekali gus membela sesiapa yang menjadi mangsa.
''Kita juga kena minta semua negara Islam untuk kembali kepada kesatuan umah melihat bahawa isunya bukan soal mazhab, tetapi kita perlu bangkit membela mereka yang menjadi mangsa,'' tegasnya dalam satu siaran video.
Dalam video sama, Mujahid turut meluahkan kekecewaan terhadap segelintir pihak yang masih menggunakan isu perbezaan mazhab dalam konflik Iran-Israel, yang disifatkannya sebagai tidak membantu perjuangan kemanusiaan yang sedang digerakkan ketika ini.
''Mereka mula bercakap tentang soal mazhab, dan ini sangat mengecewakan apabila ada yang mengatakan Iran adalah Syiah lalu mengaitkannya dengan tragedi di Syria serta menuduh Syiah membunuh orang Sunni.
''Bagi saya, kenyataan seperti ini langsung tidak membantu perbincangan kita hari ini yang sepatutnya berteraskan solidariti kemanusiaan.
''Apakah perbezaan Syiah-Sunni itu yang harus menjadi pertimbangan, atau sebaliknya soal siapa yang menjadi mangsa dan bagaimana kita menunjukkan sifat kemanusiaan terhadap masalah yang sedang berlaku?
''Contohnya apabila bercakap soal Syiah dan Sunni, Iran yang majoritinya Syiah sebenarnya banyak membantu rakyat Palestin melalui bantuan kemanusiaan dan kenyataan tegas terhadap Israel,'' ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Dr Mujahid menyeru umat Islam melupakan perbezaan dalam agama dan menghadapi musuh yang lebih besar seperti Zionisme yang mahu menghancurkan umat Islam keseluruhannya tanpa mengira mazhab.
Comments