Peluasan SST tingkat hasil negara, tambah bantuan rakyat
- Suara Keadilan
- Jun 20
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Menjelang tibanya tarikh 1 Julai di mana bermulanya semakan Cukai Jualan (CJ) dan perluasan Cukai Perkhidmatan (CP) SST secara bersasar sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024, sudah mula kedengaran mereka yang bising-bising tidak puas hati mengenainya.
Kononnya semakan CJ dan perluasan CP itu akan menyebabkan kenaikan harga cara barangan serta menambahkan lagi beban kehidupan kepada rakyat.
Sebenarnya, langkah kerajaan ini bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Lebih banyak kemudahan dapat disediakan
Secara mudahnya, lagi banyak kutipan cukai diperolehi, lagi banyak perbelanjaan untuk kemudahan rakyat dapat dilaksanakan.
Secara asasnya, semakan kadar CJ dan peluasan skop CP adalah merangkumi perkara-perkara berikut:
Kadar 0% CJ dikekalkan bagi barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat kebanyakan seperti ayam, ikan, beras, susu, ubat, buku, serta bahan binaan dan input pertanian.
Kadar 5% CJ pula dikenakan ke atas barangan pilihan yang bukan keperluan asas rakyat kebanyakan seperti ikan salmon, ikan kod, cendawan truffle, kain sutera dan jentera industri.
Sementara kadar 10% CJ hanya dikenakan ke atas barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.

Bagi semakan CP, ia diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Perkhidmatan sewaan/pajakan – 8% CP dikenakan bagi syarikat dengan pendapatan ≥ RM500,000, dengan pengecualian untuk bangunan kediaman, PMKS dan pajakan luar negara.
Kerja Pembinaan – 6% bagi syarikat dengan pendapatan ≥ RM1.5 juta, tetapi tidak dikenakan ke atas bangunan kediaman dan kemudahan awam.
Perkhidmatan Kewangan – 8% ke atas fi atau komisen, dengan pengecualian untuk perbankan asas, syariah dan pasaran modal.
Jagaan Kesihatan Swasta – 6% hanya untuk bukan warganegara; rakyat Malaysia dikecualikan sepenuhnya termasuk rawatan tradisional dan kesihatan bersekutu.
Pendidikan Swasta – 6% ke atas yuran melebihi RM60,000 setahun dan pelajar bukan warganegara; rakyat Malaysia dan OKU dikecualikan.
Perkhidmatan Kecantikan – 8% bagi syarikat dengan pendapatan ≥ RM500,000, termasuk rawatan muka dan dandanan rambut.
Rakyat marhaen tidak terbeban peluasan SST
Daripada apa yang dipaparkan di atas, adalah jelas rakyat biasa dan orang kebanyakan langsung tidak terbeban dengan dasar kerajaan yang bermula 1 Julai ini, sebaliknya hanya melibatkan golongan berada serta kelompok mahakaya.
Bagaimanapun, Kerajaan Madani turut mengambil kira keperluan bagi pematuhan perundangan kepada syarikat yang akan tertakluk kepada SST itu.
Sehubungan itu, bagi syarikat yang mengambil tindakan untuk mematuhi syarat perundangan SST yang ditetapkan, tiada tindakan pendakwaan dan penalti akan dikenakan sehingga 31 Disember 2025.
Comments