
Pengajaran modul 40 hadis Imam Nawawi yang akan dilaksanakan di sekolah awam bagi mendidik generasi muda memahami ajaran Islam sederhana seharusnya diterima dengan positif oleh semua kaum.
Biro Pendidikan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia berkata, bantahan Majlis Perundingan Malaysia untuk Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikhisme, dan Taoisme (MCCBCHST) sebelum ini terhadap modul itu amat tidak wajar kerana hadis hanya akan diajar kepada murid beragama Islam sebagaimana mata pelajaran Pendidikan Islam.
"AMK Malaysia melalui Biro Pendidikan Pusat AMK menyambut baik langkah dan seruan Kementerian Pendidikan Malaysia.
"Langkah ini adalah selaras dengan konsep Malaysia Madani di bawah kepemimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menghormati agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia serta sejajar dengan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan.
"Kami mengajak semua pihak, terutamanya mereka yang bukan beragama Islam, untuk berpandangan positif dan mengambil sikap optimistik terhadap pengenalan modul baharu itu.
"Semangat Malaysia Madani amat diperlukan dan dialu-alukan dalam usaha menyatupadukan semua kaum serta memupuk nilai keharmonian dalam kehidupan seharian di kalangan masyarakat majmuk di tanah air tercinta kita," kata AMK dalam satu kenyataan.
Tegas AMK, bantahan melulu terhadap pengajaran keagamaan Islam yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan hanya akan meningkatkan suhu ketegangan antara kaum yang tidak diperlukan dalam membina masyarakat Malaysia yang harmoni.
"Sebagai rakyat Malaysia, kami yakin pemecahan dan perpecahan hanya akan merugikan masa depan generasi mendatang. Oleh kerana itu, kami menggalakkan sokongan terhadap usaha yang baik ini yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, AMK menyarankakan lebih banyak dialog diadakan di antara pertubuhan agama atau masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Kami mengakui betapa pentingnya dialog terbuka dan kerjasama konstruktif dalam mengatasi segala kebimbangan berkaitan dengan pendidikan.
"Kami percaya melalui pemahaman yang lebih dalam dan sikap saling menghormati, kita dapat terus membangun lingkungan pendidikan yang harmoni dan inklusif bagi semua warga Malaysia," katanya lagi.