'Penerimaan pengundi Kemaman ke atas saya memberansangkan' - Tan Sri Affandi
- Redzuan Shamsudin

- Nov 26, 2023
- 2 min read

Berbaki seminggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor optimis terhadap penerimaan pengundi ke atas diri beliau melihat kepada sambutan yang amat baik diterima sewaktu berkempen.
Menurut Raja Affandi, beliau bukanlah asing bagi penduduk daerah berkenaan kerana lahir dan dibesarkan serta sering mengunjungi kawasan itu.
Oleh itu, katanya, dalam seminggu berkempen beliau telah berjaya menembusi semua kawasan, termasuk kawasan yang disifatkan kubu kebal Pas.
"Saya rasa penerimaan orang Kemaman atas saya (baik) sebab saya orang Kemaman. Saya bukan orang luar.
"Melihat kepada itu, dukungan ke atas saya memberansangkan. Termasuk saya pergi ke kawasan yang dianggap sebagai kawasan hitam. Penerimaan mereka baik. Baik kerana melihat saya daripada apa yang telah saya bantu selama ini kepada daerah Kemaman.
"Kalau itu ukurannya, saya rasa kita akan sampai ke puncak (sokongan), kita akan sampai dalam waktu terdekat.
"Bila sampai puncak itu kita harus bertahan," kata Raja Affandi ketika ditemuramah Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, semalam.

Mengenai kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam seminggu berkempen pula, Raja Affandi menyifatkan sinergi yang ditunjukkan begitu baik dan berharap gerak kerja bersama itu boleh menembusi lebih banyak kubu Pas.
Katanya, kesepakatan antara PH dan BN kelihatan semakin menjadi sejak PRK DUN Pelangai di Pahang sebelum ini.
"Saya lihat kita (PH-BN) ini sebagai satu platform sebenarnya, walaupun sebelum ini kita ada di Pelangai dan sebagainya.
"Pelangai itu DUN, ini parlimen di mana kawasan luas dan pengundi ramai. Tetapi dengan semangat yang ada, di mana PH mendukung Kerajaan Perpaduan, meletakkan Perpaduan di atas segalanya, saya merasa begitu bangga kerana yang ikut saya itu dari berbagai parti yang ada di dalam PH.
"Kalau momentum ini kita kekalkan, InshaAllah kita akan mendapat sesuatu yang baik.
"Semalam pun saya dan Mat Sabu (Presiden AMANAH) berceramah, saya rasa kita dah ada perhubungan dan perasaan (saling membantu)," katanya.
Dalam pada itu, Raja Affandi berharap beliau akan menang dan diangkat sebagai Ahli Parlimen Kemaman pada PRK 2 Disember ini.

Sekiranya menang, katanya, beliau akan membangunkan Parlimen Kemaman lebih baik berbanding parlimen lain di Terengganu.
"Harapan saya jentera kita tidak harus rehat. Kita seolah mengejar, kita mesti cari lebih.
"InshaAllah kalau ini kita dapat, hasrat kita memenangi Kemaman cerah. Pengundi memberi mandat kepada saya untuk membangunkan daerah Kemaman ini menjadi satu daerah yang lebih daripada yang lain. Saya harap hasrat itu akan tercapai," katanya lagi.
Tan Sri Raja Affandi diangkat sebagai calon langsung BN dalam misi merebut semula kerusi tradisi parti itu yang tewas kepada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Beliau bakal berhadapan dengan calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden Pas.
Kira-kira 141,790 pengundi diberi hak untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam memilih calon baharu bagi kerusi itu setelah penyandangnya Che Alias Hamid dibatalkan kemenangan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu.




Comments