top of page

Penegasan MA63 sebagai "waad nasional" perkukuh Persekutuan Malaysia

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
55 minutes ago
2 min read

Penegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah waad nasional dilihat penting dalam mengubah kerangka perbahasan mengenai hak Sabah dan Sarawak daripada isu hubungan Pusat-Negeri kepada amanah bersama seluruh rakyat Malaysia, demikian kata Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri.


Beliau berkata, penegasan Perdana Menteri itu penting kerana MA63 bukan sekadar dokumen sejarah sebaliknya antara asas pembentukan Malaysia yang perlu terus dihormati dan dilaksanakan oleh generasi hari ini.


"MA63 bukan sekadar dokumen sejarah yang kita kenang setiap 16 September. Ia adalah antara asas kepada pembentukan Malaysia dan menjadi sebahagian daripada amanah yang perlu terus dihormati oleh generasi hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Yahya berkata, pelaksanaan MA63 tidak wajar dilihat melalui kerangka “Pusat melawan negeri” atau seolah-olah Sabah dan Sarawak sedang menuntut hak daripada Semenanjung.


Sebaliknya kata beliau, MA63 perlu dilihat sebagai usaha bersama untuk memperkukuhkan Persekutuan Malaysia dengan hak yang dipersetujui dihormati dan tanggungjawab yang dipersetujui dilaksanakan.


"Apa yang menjadi hak perlu dihormati. Apa yang menjadi tanggungjawab perlu dilaksanakan. Apa yang masih belum selesai perlu dirunding dan diselesaikan dengan semangat kebersamaan," ujarnya.


Mohd Yahya Mat Sahri
Mohd Yahya Mat Sahri

Mohd Yahya berkata pendekatan yang mengutamakan rundingan, persefahaman dan penyelesaian secara konstruktif penting bagi memastikan pelaksanaan MA63 terus bergerak ke hadapan.


Menurut beliau lagi, perkara yang lebih utama ialah pelaksanaan tersebut akhirnya memberi manfaat yang dapat dirasai rakyat khususnya dalam aspek pembangunan dan kualiti hidup.


"Pembangunan bukan hanya soal angka pelaburan. Ia tentang peluang pekerjaan, pendidikan, infrastruktur, kesihatan, kemudahan asas, ekonomi setempat dan kualiti hidup rakyat," ujarnya.


Beliau berkata kemajuan Sabah dan Sarawak perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kekuatan Malaysia secara keseluruhan sama seperti pembangunan di negeri-negeri lain.


Jelasnya kemajuan setiap negeri tidak seharusnya dilihat sebagai persaingan, sebaliknya sebagai kekuatan bersama sebuah Persekutuan.


Yahya turut mengaitkan pendekatan tersebut dengan semangat Malaysia MADANI yang katanya perlu diterjemahkan melalui keadilan, ihsan, hormat dan tanggungjawab dalam membina negara.


Beliau berkata konsep waad nasional itu jauh lebih besar daripada isu politik kepartian kerana ia menyentuh persoalan mengenai bentuk Malaysia yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang.


"Apakah Malaysia yang mahu kita wariskan kepada generasi akan datang?" soalnya.


Menurutnya persoalan tersebut perlu dijawab melalui keberanian untuk menunaikan amanah yang telah dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.


"MA63 adalah waad. Malaysia adalah amanah. Keadilan adalah prinsip. Dan masa depan Malaysia adalah tanggungjawab kita bersama," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page