top of page

Penebusan Baucar Buku Madani 2026 bermula hari ini

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 19 hours ago
  • 1 min read

Proses penebusan e-baucar Program Baucar Buku Madani 2026 bernilai RM100 seorang bermula hari ini sehingga 31 Okt depan.


Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (gambar) berkata, seramai 2,217,579 penerima melibatkan murid daripada kelas peralihan hingga tingkatan enam, pelajar kolej vokasional, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bakal menerima manfaat daripada inisiatif itu.


"Tahun ini, KPM turut memperkenalkan Fokus Judul Khas Madani yang merangkumi karya kesusasteraan dan karya agung, buku umum dan bukan fiksyen berkaitan sejarah, falsafah, ekonomi, geopolitik serta pembangunan modal insan.


"Fokus turut diberikan kepada buku berkaitan sains dan teknologi masa hadapan termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan pendigitalan.


"Setiap penerima perlu membeli sekurang-kurangnya sebuah buku daripada kategori Fokus Judul Khas Madani," katanya dipetik dalam sesi Dewan Rakyat pada Selasa.


Menurut Kah Woh, penebusan baucar akan dilaksanakan sepenuhnya menerusi platform BookCapital yang kini mempunyai 1,238 syarikat penjual berdaftar.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei lalu mengumumkan kerajaan bersetuju meneruskan pemberian baucar tersebut meskipun berdepan cabaran ekonomi susulan konflik di rantau Asia Barat.


Pemberian baucar tersebut jelasnya bagi memastikan budaya membaca terus dipupuk dalam kalangan generasi muda.


Kajian impak oleh Institut Darul Ehsan sebelum ini mendapati 97.5 peratus responden bersetuju Baucar Buku Madani banyak membantu pelajar.


Ia khususnya daripada golongan berpendapatan rendah, manakala 92.2 peratus mengakui ia membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page