
Nampaknya penduduk Inanam membuat keputusan untuk tidak menyokong Kenny Chua, sebaliknya mengekalkan sokongan kepada KEADILAN.
Ini selepas Kenny dipecat oleh parti kerana memberikan sokongan kepada Musa Aman untuk mengambil alih kerajaan negeri Sabah, sebelum Shafie Apdal bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, ketua Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Inanam, Abdul Latif Mopuas berkata penduduk di kawasan itu enggan mengikut jejak langkah Kenny.
“Tindakan Kenny yang meninggalkan parti untuk menyertai kumpulan Tan Sri Musa Aman sama sekali tidak menjejaskan KEADILAN Inanam.
"Kami masih menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat dan kepimpinan Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.
“Kami juga sebulat suara menyokong kepimpinan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang akan dibentuk nanti,” katanya seperti dilaporkan Borneo Today.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), KEADILAN mempertahankan kerusi DUN Inanam apabila meraih undian sebanyak 13,633 dengan majoriti sebanyak 7,783.