Penduduk DUN Pelabuhan Klang serah memo bantah bina memorial
- Suara Keadilan

- Jun 11
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri hari ini tampil bersama penduduk Kampung Raja Uda (KRU) menghantar notis bantahan terhadap cadangan pembinaan bangunan memorial setinggi empat tingkat di atas tanah seluas 1.35 ekar di kampung tersebut.
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan bersama penduduk dan semakan yang dibuat, pihaknya berpandangan cadangan pembangunan itu amat tidak sesuai dan akan membawa pelbagai kesan negatif yang membimbangkan masyarakat setempat khususnya penduduk di KRU.
"Memandangkan lokasi cadangan terletak berhampiran dengan kawasan kediaman yang majoritinya terdiri daripada penduduk beragama Islam, maka timbul beberapa kerisauan yang wajar diambil perhatian serius oleh pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
"Fungsi ini langsung tidak selaras dengan Zon Guna Tanah dan Syarat Nyata Tanah yang telah diperuntukkan iaitu MBDK melalui rancangan tempatan MBDK memperuntukkan kawasan berkenaan sebagai zon perumahan dan perniagaan.
"Jadi ia secara tidak langsung, bertentangan dengan Syarat Nyata Tanah yang dikategorikan sebagai kediaman," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghantar memorandum bantahan di bangunan MBDK hari ini.
Mengulas lanjut katanya, jarak antara tapak cadangan itu dan Masjid Kampung Raja Uda hanya 83 meter dan secara tidak langsung menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk yang majoritinya beragama Islam.
Justeru beliau berharap bantahan tersebut akan diterima dan diteliti oleh pihak MBDK khususnya Datuk Bandar.









Comments