top of page

Pendirian Singapura mengenai Selat Hormuz pendekatan strategik sempit

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Pendirian Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan berhubung keengganan republik itu untuk terlibat dalam rundingan dengan Iran mengenai laluan selamat di Selat Hormuz dianggap kurang wajar dalam pendirian geopolitik semasa.


Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata, kenyataan tersebut tidak mencerminkan sikap berhati-hati yang menyokong undang-undang antarabangsa.


"Kenyataan terkini oleh Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan mengenai keengganan Singapura untuk terlibat dalam rundingan dengan Iran berhubung laluan selamat di Selat Hormuz adalah sesuatu yang dikesali.


"Ia tidak mencerminkan sikap berhati-hati, sebaliknya menunjukkan pendekatan strategik yang sempit yang mengutamakan penjajaran berbanding tanggungjawab serantau dan undang-undang antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, situasi semasa menyaksikan Iran menjadi sasaran tindakan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam serta kemusnahan infrastruktur.


Dalam konteks itu, katanya, kawalan Iran ke atas Selat Hormuz dilihat sebagai usaha untuk mencapai keamanan yang lebih berkekalan.


Nurul Izzah menegaskan bahawa Malaysia secara konsisten berpegang kepada prinsip diplomasi sebagai jalan utama dalam menangani konflik Asia Barat.


"Penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu ini berasaskan keperluan untuk menjaga kestabilan serantau, keselamatan tenaga dan kepentingan lebih luas Asia Tenggara," katanya.


Beliau berkata, sebarang pandangan yang menolak pendekatan diplomasi secara tersirat adalah tidak selari dengan amalan yang telah lama mengekalkan keamanan di rantau ini.


"Sukar untuk tidak melihat nada tersirat dalam pendirian Dr Balakrishnan. Pendekatan beliau kelihatan kurang berkaitan dengan neutraliti, sebaliknya lebih kepada mencerminkan keutamaan strategik kuasa luar yang tidak semestinya selari dengan kepentingan rantau ini.


"Pendekatan sedemikian berisiko menghakis komitmen lama ASEAN terhadap diplomasi bebas dan seimbang," ujarnya.


Tegas Nurul, Malaysia memilih dialog kerana sejarah membuktikan bahawa menjauhkan diri hanya membawa kepada peningkatan konflik, bukan kestabilan.


Bagaimanapun, beliau mengakui setiap pihak berhak dengan pendirian masing-masing, namun menegaskan bahawa penerimaan naratif kuasa besar secara senyap tidak boleh dianggap sebagai neutraliti berprinsip.


"Dalam saat ketegangan global, rantau ini memerlukan suara yang membina jambatan, bukan yang menambah jurang perpecahan," katanya.


Beliau menegaskan Malaysia akan terus mengangkat pendekatan diplomasi secara jelas, berprinsip dan bebas dalam menangani isu antarabangsa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page