top of page

Pendirian Anwar mengenai Taiwan selari dasar Satu China - Biro Antarabangsa

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 2 min read

Pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Taiwan bukan satu dasar baharu atau sokongan terhadap peperangan, sebaliknya konsisten dengan Dasar Satu China yang menjadi asas hubungan diplomatik Malaysia dengan Beijing sejak 1974.


Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata pendirian Anwar dalam wawancara bersama Al Jazeera baru-baru ini mencerminkan kesinambungan dasar luar Malaysia yang telah diamalkan sejak era Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.


Pengerusi biro itu, Dr Maszlee Malik (gambar) berkata KEADILAN menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pendirian Perdana Menteri khususnya penegasan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China.


"Kami memuji Perdana Menteri atas penjelasan beliau yang jelas, berprinsip dan konsisten mengenai dasar luar Malaysia yang telah lama diamalkan.


"Kenyataan beliau yang menegaskan Taiwan sebagai sebahagian daripada China merupakan penegasan semula Dasar Satu China yang telah dipatuhi Malaysia sejak zaman Tun Abdul Razak," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut kenyataan itu, pendirian berkenaan bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya kesinambungan prinsip asas dalam kerangka diplomatik Malaysia yang turut diterima secara meluas oleh masyarakat antarabangsa.


Biro berkenaan turut menolak tafsiran bahawa kenyataan Anwar bersifat provokatif atau memberi gambaran Malaysia menyokong peperangan bagi menyelesaikan pertikaian mengenai Taiwan.


Sebaliknya, ia berkata analogi domestik yang digunakan Perdana Menteri dalam wawancara berkenaan perlu dilihat dalam konteks hak sesebuah negara mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayahnya.


"Untuk menyifatkan perkara ini sebagai ‘menghasut peperangan’ adalah satu salah tafsir yang besar terhadap maksud beliau.


"Pendirian beliau adalah mengenai pencegahan dan mempertahankan kedaulatan, bukannya menyokong penggunaan kekerasan," ujarnya.


Menurut biro itu, pemimpin sesebuah negara bertanggungjawab mempertahankan keutuhan wilayah daripada perpecahan dan prinsip pencegahan merupakan antara elemen penting dalam menjamin kestabilan.


KEADILAN pada masa sama menyambut baik penghargaan Kementerian Luar China terhadap kenyataan Anwar yang menunjukkan pendekatan diplomasi Malaysia difahami dan dihormati rakan strategiknya.


Biro itu berkata episod berkenaan turut memperlihatkan ketegangan yang sentiasa wujud antara kedudukan diplomatik dari sudut perundangan dengan realiti politik antarabangsa namun Malaysia kekal berpandukan prinsip dan konsistensi sejarah.


"Pendekatan beliau (Anwar) mencerminkan kenegaraan yang matang, berprinsip, berorientasikan dialog dan melindungi keberkecualian strategik Malaysia," katanya.


Kontroversi berhubung isu berkenaan tercetus selepas Anwar dalam wawancara bersama Al Jazeera ditanya mengenai kedudukan Taiwan dan kemungkinan China menggunakan kekerasan sekiranya usaha penyatuan secara aman gagal.


Anwar menegaskan Malaysia berpegang kepada Dasar Satu China dan menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada China.


Ketika diasak sama ada beliau akan mengecam Beijing sekiranya China menggunakan kekerasan terhadap Taiwan, Perdana Menteri menggunakan Malaysia sebagai analogi dengan membangkitkan persoalan bagaimana seorang pemimpin negara harus bertindak sekiranya sebuah negeri atau wilayah mahu keluar daripada Persekutuan.


Kenyataan itu mendapat reaksi berbeza di mana Beijing menyambut baik penegasan Anwar terhadap prinsip Satu China manakala Teipei membantah kenyataan berkenaan dan menegaskan pendiriannya bahawa Republik China (Taiwan) adalah sebuah entiti berdaulat serta tidak berada di bawah pemerintahan Republik Rakyat China.


Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik rasmi dengan Republik Rakyat China pada 31 Mei 1974 ketika pentadbiran Tun Abdul Razak dan menjadi negara ASEAN pertama berbuat demikian.


Sejak itu, Kuala Lumpur mengekalkan Dasar Satu China sebagai asas hubungan rasminya dengan Beijing sambil meneruskan hubungan ekonomi, perdagangan dan hubungan rakyat dengan Taiwan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page