Pendigitalan sektor awam, Malaysia sasar hab Kreatif Digital Global 2030
- Suara Keadilan
- 15 minutes ago
- 2 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 6/2025, yang memberi fokus kepada usaha memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut memberi penekanan kepada keperluan mempercepat transformasi perkhidmatan kerajaan supaya lebih pantas, mudah, telus serta berfokus kepada rakyat.
"Saya berkesempatan mempengerusikan Mesyuarat MED4IRN Bil. 6/2025 bagi memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam melalui inovasi Kerajaan MADANI demi perkhidmatan yang lebih pantas, mudah, telus dan berfokus kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Mesyuarat tersebut bersetuju menubuhkan Unit Transformasi Digital (DTU) di semua kementerian bagi memastikan pelaksanaan inisiatif digital kerajaan berjalan secara tersusun dan berimpak tinggi.
Selain itu, pendaftaran MyDigital ID akan dipercepatkan, manakala pembangunan MyGov Malaysia — gerbang digital tunggal kerajaan berteraskan kecerdasan buatan (AI) — akan dipacu sebagai platform utama perkhidmatan digital negara.
Perdana Menteri memaklumkan bahawa mesyuarat turut memberi keutamaan kepada peningkatan liputan dan kualiti internet di IPTA dan premis latihan kerajaan, bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran digital secara berterusan.
Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai Hab Kreatif Digital Global menjelang 2030, kata PM, kerajaan merangka Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital 2026–2030 (DICE Roadmap).
Keseluruhan inisiatif yang diputuskan akan menjadi landasan kepada Fasa 3 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (2026–2030), yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan perniagaan; peningkatan taraf hidup rakyat dan reformasi ekonomi digital negara.
Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh transformasi digital negara.
"Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus berusaha dengan penuh tekad dan kecekapan, berpaksikan rakyat, demi memastikan Malaysia kekal maju, makmur dan bersedia menghadapi cabaran era digital yang semakin pesat," katanya lagi.





