Pendigitalan pentadbiran: Bukti kerajaan MADANI pilih reformasi – Wanita KEADILAN
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read
Updated: 13 hours ago

Oleh: Helmi Foad
Seruan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua agensi kerajaan menerima pakai kecerdasan buatan (AI) serta pendigitalan secara menyeluruh mencerminkan keyakinan beliau agar kerajaan Madani melaksanakan reformasi sebenar.
Naib Ketua Wanita Pusat KEADILAN Loh Ker Chean berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bagi memastikan penyampaikan perkhidmatan awam lebih cekap, pantas dan telus kepada rakyat.
"Pendekatan berasaskan AI dan pendigitalan adalah jawapan kepada masalah sebenar rakyat yang sebelum ini berdepan pelbagai cabaran dalam urusan mereka dengan sektor perkhidmatan awam.

"Gagasan tersebut merupakan langkah maju ke ke hadapan, berbeza sama sekali dengan pendekatan pembangkang yang masih terperangkap dalam retorik politik tanpa pelan pentadbiran yang jelas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Perdana Menteri Anwar dalam ucapan Amanat Tahun Baharu 2026 menggesa penggunaan AI dan pendigitalan secara menyeluruh dalam pentadbiran semua kementerian dan agensi kerajaan.
Ker Chean berkata, seruan untuk mengadaptasi teknologi dan pengukuhan perundangan bukan sahaja memudahkan penyampaian perkhidmatan awam malah mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan kecekapan sistem kerajaan.
"Ini reformasi struktur, bukan janji kosong," ujar beliau sambil menyatakan agenda pendigitalan kerajaan adalah selari dengan tuntutan rakyat.
Dalam pada itu beliau berkata Wanita KEADILAN sendiri telah memulakan agenda pendigitalan organisasi seawal 2024, ketika beliau memegang amanah sebagai Setiausaha Wanita KEADILAN.
"Melalui pengenalan Sistem ASAK (Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan), sistem dalam talian bagi pelaksanaan dan pelaporan Mesyuarat Agung Cabang Wanita 2024 dan 2025, Wanita KEADILAN telah membuktikan pendigitalan mampu meningkatkan kecekapan, ketelusan serta pematuhan organisasi," jelasnya.
Tambah beliau kejayaan pelaksanaan sistem tersebut telah meyakinkan KEADILAN untuk memperluaskan inisiatif pendigitalan ke peringkat yang lebih luas.
"Di bawah kepimpinan PMX, kerajaan memilih untuk memperbaiki sistem, bukannya menyalahkan penjawat awam atau menakut-nakutkan rakyat dengan politik kebimbangan.
"Inilah perbezaan jelas antara kepimpinan yang membina negara dan politik yang hanya mengejar polemik," katanya.





