Pendidikan percuma kepada 10,000 pelajar perlu ditambah
- Sidiqin Omar

- 2 hours ago
- 2 min read

Meskipun telah berlalu Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka, namun hujah pembahas Angkatan Muda Keadilan (AMK), Suhail Wan Azahar mengenai inisiatif pendidikan percuma yang kini memberi manfaat kepada sekitar 10,000 pelajar perlu diperbesar skalanya perlu dipertimbangkan secara serius oleh pihak Kerajaan MADANI.
Kerajaan juga disaran memperluaskan lagi inisiatif pendidikan percuma kepada golongan miskin dan miskin tegar bagi memastikan lebih ramai anak muda berpeluang melanjutkan pengajian tanpa dibebani kos yuran.
"Kita dah buat pendidikan percuma, tetapi untuk 10,000 saja. Tapi 10,000 ini kalau dia boleh belajar, sudah tidak ada masalah untuk fikir pasal yuran. Besar nikmat dia.
"Saya cadangkan agar pelaksanaan pendidikan percuma diperluaskan lagi agar lebih ramai pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar dapat menikmati peluang pendidikan tinggiia," katanya Suhail ketika membahaskan Usul Politik: Prinsip Keadilan: Penentu Sebenar Kedaulatan Negara, Bangsa dan Agama di MITC, Melaka, Sabtu lalu.
Menurutnya, pendidikan percuma merupakan antara usaha yang perlu lebih giat diketengahkan kepada rakyat kerana ia mampu mengurangkan beban keluarga miskin yang mahu melihat anak mereka melanjutkan pengajian tinggi.
Kerajaan Madani mulai 2026 telah memulakan inisiatif pendidikan percuma melalui PTPTN kepada 10,000 pelajar dari keluarga miskin dan miskin tegar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), meningkat daripada 5,800 pelajar yang dirancang sebelum ini dengan kuota 3,000 pelajar dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU)
Dalam pada itu, Suhail berkata usaha kerajaan menyediakan bantuan kepada rakyat termasuk subsidi perlu dilihat sebagai instrumen untuk meningkatkan taraf hidup, bukannya hak eksklusif mana-mana kaum.
"Subsidi ini bukan hak milik mana-mana kaum. Ia adalah salah satu cara untuk mobiliti sosial sahaja," katanya.
Beliau berkata kebergantungan terhadap subsidi juga tidak boleh berterusan kerana matlamat akhirnya adalah membina kemandirian rakyat dan negara sekaligus membolehkan kerajaan menggunakan sumber yang ada untuk membantu lebih ramai golongan memerlukan.
"Ini bagi memastikan dasar kerajaan benar-benar memenuhi keperluan rakyat, termasuk dalam aspek pendidikan, subsidi dan perumahan.
"Dan pendekatan berasaskan keadilan perlu memastikan setiap dasar bukan sekadar kelihatan baik di atas kertas, sebaliknya memberi kesan nyata kepada kehidupan rakyat," katanya lagi.




Comments