Pendidikan masyarakat India diutamakan, termasuk pendidikan dalam talian
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran menegaskan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa sistem pendidikan negara apabila merasmikan pelaksanaan Program Pendidikan Dalam Talian Brahmastra di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda, Brickfields, bersempena majlis “Skanda Velvi 2026”.
Menurut beliau, program anjuran Sri Murugan Centre (SMC) itu mencerminkan usaha berterusan masyarakat sivil dalam meningkatkan kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah pelajar India di Malaysia.
"SMC merupakan sebuah badan sukarela yang ditubuhkan pada tahun 1982, dengan misi utama untuk meningkatkan tahap pendidikan dan kecemerlangan akademik pelajar India di negara ini. Selama lebih empat dekad, SMC telah memainkan peranan penting dalam membina asas pendidikan yang kukuh, bukan sahaja dari sudut akademik, malah dari aspek sahsiah, disiplin dan nilai murni," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau berkata, pelancaran Skanda Velvi 2026 menandakan satu lembaran baharu dalam pendekatan pendidikan holistik yang menggabungkan kecemerlangan akademik, pembinaan sahsiah dan pembangunan kemahiran insaniah.
"Inisiatif ini turut diperkukuhkan melalui penggunaan platform pendidikan dalam talian Brahmastra, yang kini diperluaskan kepada 528 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di 11 buah negeri," jelasnya.
Dalam ucapan pada majlis itu, Yuneswaran menekankan kepentingan pendidikan TVET dan STEM sebagai teras utama melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing dan selari dengan keperluan industri serta ekonomi negara. Juga perlunya pendidikan memastikan pelajar menjadi generasi berakhlak.
"Pendidikan bukan sekadar pencapaian peperiksaan, tetapi satu proses membentuk insan yang seimbang, berkemahiran dan berakhlak," ujarnya.
Beliau turut berkongsi pendirian Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sedang meneliti secara serius cadangan untuk mengembalikan semula peperiksaan UPSR dan PT3 pada masa hadapan.
"Ini merupakan satu berita baik kepada ibu bapa dan membuktikan bahawa Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mendengar suara rakyat, khususnya berkaitan masa depan pendidikan anak-anak kita," katanya.
Yuneswaran merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SMC, pentadbir sekolah, para guru serta semua pihak yang terus komited dalam memperkasa pendidikan demi masa depan generasi muda dan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.









Comments