Pendidikan Inklusif di Selangor Untuk Semua Golongan
- Suara Keadilan

- Sep 15
- 2 min read
Updated: Sep 17

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Pertemuan antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) baru-baru ini telah dicemari dengan tuduhan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak.
Kerajaan Madani Selangor telah digambarkan tunduk kepada desakan Dong Zong apabila didakwa menggadaikan tanah untuk pembinaan Sekolah Cina dan mengiktiraf Sijil Pemeriksaan Bersama (UEC) yang digunakan di Sekolah Persendirian Cina (SPC).
Tuduhan itu dengan pantas dijawab oleh Pejabat Menteri Besar Selangor dengan menjelaskan bahawa pemberian tanah untuk membina sekolah bukan perkara yang baharu dan tidak hanya melibatkan SPC, Kerajaan Madani Selangor turut meluluskan pemberian tanah kepada Pusat Pendidikan Al-Amin di Gombak.
Terkait pengiktirafan terhadap UEC, keputusan tersebut telah dilakukan sejak hampir 10 tahun lalu (21 Oktober 2015), keputusan oleh Kerajaan Madani Selangor pada ketika ini hanyalah kesinambungan kepada keputusan yang dibuat ketika Pakatan Rakyat menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor.
Perlembagaan iktiraf sekolah Cina
Perbincangan mengenai isu yang dibangkitkan ini perlu diperhalusi menggunakan lunas Perlembagaan. Secara rasminya sekolah persendirian beroperasi di bawah Akta Pendidikan 1996, Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak asasi untuk menubuhkan semua jenis sekolah termasuk yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar utama seperti sekolah persendirian Cina.

Tafsiran tersebut diperkukuhkan oleh keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021 yang memutuskan kewujudan dan penubuhan SPC adalah sah serta berperlembagaan. Perkara yang sama terpakai kepada penubuhan sekolah persendirian agama dalam konteks Negeri Selangor.
Mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2020, sekolah tahfiz dan pondok juga dikategorikan sebagai sekolah persendirian. Dasar Kerajaan Madani Selangor sangat jelas untuk membantu semua jenis sekolah persendirian.
Justeru jika pemberian bantuan kepada SPC dipertikaikan, maka ia akan membuka ruang untuk mewujudkan pertikaian terhadap bantuan kepada sekolah persendirian agama (tahfiz dan pondok).
Pengiktirafan sijil UEC
Isu seterusnya adalah terkait pengiktirafan terhadap UEC yang dilakukan semenjak tahun 2015. Pengiktirafan yang dilakukan terhadap UEC tidak hanya dilakukan oleh negeri Selangor, dalam konteks tersebut Negeri Sabah juga turut mengiktiraf UEC.
Pengiktirafan ini hanya bertujuan untuk penyambungan pengajian di peringkat tinggi (universiti milik kerajaan negeri) dan untuk syarat kemasukan ke perkhidmatan awam negeri sahaja. Walaupun kerajaan Persekutuan masih belum mengiktiraf UEC, Kerajaan Negeri Selangor mengambil pendekatan berbeza berdasarkan kuasa yang ada pada kerajaan negeri atas sebab menarik pelajar berbakat untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.
Secara faktanya UEC diterima oleh banyak universiti ternama di luar negara termasuklah United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Taiwan. Keputusan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor bukanlah suatu keputusan yang tidak berasas jika dibandingkan dengan dasar negara-negara maju lain.
Seharusnya semua pihak cuba untuk berlapang dada dalam isu pertemuan Menteri Besar Selangor dan Dong Zong, tiada keputusan luar biasa dan di luar lunas Perlembagaan dibuat hasil pertemuan tersebut. Matlamat Kerajaan Madani Selangor tidak pernah berubah untuk membantu setiap lapisan masyarakat untuk membangunkan kapasiti diri melalui pendidikan.
Sumbangan yang diberikan ini seharusnya dilihat dari aspek pembangunan modal insan untuk Negeri Selangor, ia tidak seharusnya digunakan untuk memecahbelahkan keharmonian antara kaum di negeri tercinta ini.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor









Comments