Isu segketa antara agama: Siasatan, pendakwaan dijalankan secara adil
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 3 min read

ULASAN: Malaysia pada tahun 2026 menghadapi pelbagai tekanan terutama dari segi ekonomi apabila tercetusnya perang Amerika Syarikat-Iran.
Namun disebalik tekanan ekonomi yang sedang memuncak, wujud satu lagi tekanan terhadap Kerajaan Madani dalam bentuk ketegangan antara agama. Isu ini melibatkan pendakwaan terhadap beberapa orang aktivis agama Islam-Hindu yang mengeluarkan kenyataan sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan negara.
Akibatnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan selepas menerima laporan daripada masyarakat awam, dua orang aktivis yang didakwa terkait dengan isu ini adalah Zamri Vinoth Kalimuthu dan Arun Dorasamy.
Ketegangan ini bermula apabila beberapa kenyataan dan video di media sosial dikeluarkan oleh Zamri Vinoth yang menyentuh isu berkaitan agama Hindu sehingga menjadi tular. Gaya penyampaian Zamri yang dianggap provokatif terkait ritual mencucuk badan (vel) yang dilakukan oleh penganut Hindu semasa Thaipusam telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penganut agama tersebut.
Polis kawal ketegangan kaum
Kenyataan tersebut kemudiannya mendapat balasan daripada Arun yang mengecam Zamri secara terbuka dan kemudiannya menggesa penganut agama Hindu bersatu menentang kenyataan tersebut. PDRM bertindak pantas setelah mendapat laporan daripada masyarakat awam bagi mengawal ketegangan tersebut daripada berlarutan.

Wujud beberapa kritikan terhadap perbezaan tindakan undang-undang terhadap Zamri dan Arun. Pada waktu ini siasatan dan pendakwaan terhadap Zamri telah dilaksanakan. Arun juga telah diheret ke muka pengadilan.
Dalam isu ini setiap pihak perlu berlaku adil kepada PDRM yang menyelesaikan siasatan terhada Zamri terlebih dahulu berbanding Arun. Faktanya, laporan polis dibuat oleh masyarakat awam lebih awal terhadap Zamri iaitu sekitar 8 Mac 2026 berbanding laporan kepada Arun pada 12 Mac 2026. Justeru tidak menghairankan apabila siasatan terhadap Zamri dimulakan dan diselesaikan lebih awal berbanding Arun.
Fakta kedua yang perlu difikirkan oleh semua rakyat Malaysia yang rasional adalah kedua-dua pihak telah didakwa di mahkamah kerana memulakan provokasi sehingga menganggu keharmonian masyarakat.
Zamri menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam sehingga boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Perlembagaan iktiraf kebebasan beragama
Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf perbezaan kepercayaan yang diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia, selagi mana ia diamalkan dengan aman dan damai. Amalan vel yang diamalkan oleh penganut Hindu tidak menjejaskan keharmonian masyarakat selama ini dan ia disambut pada perayaan Thaipusam setiap tahun tanpa sebarang masalah.
Pasti ada rungutan beberapa isu selepas selesai sambutan Thaipusam seperti kesesakan lalulintas dan kebersihan, namun perkara itu merupakan toleransi antara penganut pelbagai agama di Malaysia yang telah wujud semenjak tertubuhnya Malaysia.
Kenyataan provokasi antara agama
Kenyataan berbentuk provokasi oleh Zamri sudah pasti disambut oleh penganut agama Hindu seperti Arun secara keras demi mempertahankan kepercayaan dan keimanan mereka. Namun kesilapan Arun adalah menyeru penganut agama Hindu mempertahankan kesucian agama mereka dengan nada keras yang boleh membawa kepada ketegangan antara agama.
Kerajaan Madani dalam isu ini perlu bertindak adil berlandaskan lunas undang-undang, keharmonian yang kita bina selama adalah lebih penting untuk dipertahankan. Justeru siasatan yang dilakukan oleh PDRM dan proses penghakiman dibiarkan berjalan tanpa sebarang gangguan. Pertuduhan yang dikenakan terhadap Zamri atau Arun adalah berdasarkan bukti yang telah dirakam secara atas talian.
Bagaimana mungkin isu pendakwaan ini boleh dikaitkan dengan ketidakadilan daripada Kerajaan Madani? Seharusnya kita semua sebagai rakyat Malaysia meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap agensi penguatkuasa yang cuba menegakkan keadilan dengan sebaik mungkin.
Jangan kita terpengaruh dengan permainan sentimen perkauman dan keagamaan melampau, jika benar Zamri atau Arun didapati bersalah maka kita harus menerima keputusan tersebut dengan lapang dada.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor
