top of page

Pendekatan rentas kementerian perlu perkukuh keselamatan murid

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
6 hours ago
1 min read

Aspek keselamatan murid di premis sekolah perlu diberi perhatian serius, termasuk di luar waktu persekolahan biasa, susulan pemergian pelajar berusia 16 tahun, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal di Yong Peng, Johor.


Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, pendekatan rentas kementerian wajar diteliti bagi memastikan aspek keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dapat ditangani secara yang lebih menyeluruh.


Beliau mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak bagi mengenal pasti langkah pencegahan, pengawasan dan tindak balas yang lebih berkesan.


"Pada masa yang sama, KPM perlu menilai semula aspek pengawasan pelajar, kawalan akses, pemantauan kawasan sekolah dan prosedur kecemasan serta mengambil tindakan penambahbaikan sekiranya terdapat sebarang kelemahan yang dikenal pasti," katanya dalam hantaran di media sosial.


Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, pihak berkuasa perlu diberi ruang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi menentukan fakta dan keadaan sebenar kejadian berkenaan.


Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan sementara siasatan berlangsung.


Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.


"Sukar untuk membayangkan kesedihan yang sedang mereka lalui ketika ini. Semoga seluruh keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan yang amat berat ini," katanya.


Menurutnya, sekolah perlu sentiasa menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak dan sebarang kelemahan berkaitan keselamatan murid perlu ditangani dengan sewajarnya.


Dr Zaliha turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.


"Al-Fatihah buat Allahyarhamah adik Irene Sofiya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page