Pendekatan politik Pas, memonopoli agama, menghampiri Khawarij?
- Suara Keadilan

- 45 minutes ago
- 2 min read

Pendekatan politik Pas didakwa mempunyai persamaan dengan cara berfikir golongan Khawarij pada zaman Khalifah Saidina Ali, khususnya dalam memonopoli tafsiran agama dan mengaitkan perbezaan politik dengan persoalan iman dan Islam.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional, Muammar Qaddafi berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi kenyataan seorang penyokong Pas yang mendakwa seseorang menjadi kafir apabila memisahkan agama dan politik.
"Ayat ini sebenarnya membuka ruang untuk kita memahami persamaan antara pendekatan Khawarij dahulu dengan budaya politik yang dibawa Pas hari ini," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, golongan Khawarij pada zaman Saidina Ali turut menggunakan hujah agama ketika menentang keputusan tahkim antara Saidina Ali dan Muawiyah dengan melaungkan ungkapan “La hukma illa lillah” yang bermaksud tiada hukum melainkan hukum Allah.
Katanya, meskipun ungkapan itu benar, Saidina Ali menjawab bahawa ia merupakan kalimah yang benar tetapi dimaksudkan untuk kebatilan.
"Masalah Khawarij bukan kerana mereka tidak bercakap tentang agama. Masalahnya ialah mereka memonopoli tafsiran agama, menjadikan pendirian politik sendiri sebagai hukum Allah dan menganggap sesiapa yang berbeza dengan mereka telah menolak Islam," katanya.
Muammar mendakwa corak pemikiran sedemikian turut dapat dilihat dalam budaya politik Pas apabila perjuangan parti itu sering dipersembahkan sebagai perjuangan Islam sehingga penolakan terhadap Pas seolah-olah disamakan dengan penolakan terhadap Islam.
Beliau turut memetik kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang pada 1981 yang menyifatkan Umno sebagai parti yang mengekalkan “perlembagaan penjajah”, “undang-undang kafir” dan “peraturan jahiliah”.
"Pertentangan antara dua parti politik akhirnya diangkat menjadi pertentangan antara Islam dengan jahiliah. Perjuangan menentang Umno disebut jihad, manakala mereka yang mati dalam perjuangan itu dianggap syahid," katanya.
Menurut Muammar, pendekatan tersebut pada ketika itu membawa kepada perpecahan dalam masyarakat Melayu-Islam, termasuk isu solat dua imam, pemulauan kenduri, pertikaian berkaitan sembelihan dan keretakan hubungan keluarga.
Beliau berkata, selepas Umno menjadi rakan kerjasama Pas (dalam pilihanraya Negeri Sembilan), sasaran politik parti itu kini berubah kepada DAP dan Pakatan Harapan pula.
"Musuhnya berubah, tetapi kerangka pemikirannya (ekstrem) kekal," katanya sambil merujuk kepada tulisan terbaharu Hj Hadi yang didakwa menuduh DAP dan PH meneruskan agenda penjajah untuk menghapuskan Melayu dan Islam.
Muammar berkata, Pas sering diletakkan di pihak Islam manakala parti lawan digambarkan sebagai ancaman kepada agama, menyebabkan penyokong Pas dianggap sebagai pejuang agama sementara orang Islam yang memilih parti lain dilabel sebagai jahil atau membantu musuh.
"Inilah antara persamaannya dengan pendekatan Khawarij, bermula dengan perbezaan politik, kemudian agama digunakan untuk menentukan siapa berada di pihak kebenaran dan siapa berada di pihak kebatilan," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak wajar semua ahli Pas dilabel sebagai Khawarij kerana golongan tersebut mempunyai ciri sejarah yang lebih khusus, termasuk mengkafirkan umat Islam, menghalalkan darah dan mengangkat senjata.
Namun, katanya, persamaan dari sudut cara berfikir tidak harus diketepikan, khususnya apabila agama dimonopoli untuk memberikan kesucian kepada perjuangan politik kelompok tertentu.
"Islam sememangnya tidak memisahkan agama daripada urusan kehidupan. Tetapi Islam juga tidak pernah memerintahkan kita menyamakan agama Allah dengan sebuah parti politik.
"Pas hanyalah parti. Pas bukan (agama) Islam. Menolak Pas tidak menjadikan seseorang kafir, sebagaimana menyokong Pas juga tidak secara automatik menjadikan seseorang lebih beriman," katanya.
Muammar turut mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati apabila sesebuah parti mendakwa hanya perjuangannya mewakili Islam.




Comments