Pendekatan berhemah redakan polemik Kampung Indian Settlement - Saifuddin
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Isu melibatkan Kampung Indian Settlement di Gombak yang berlarutan sejak sekian lama diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri Selangor.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai usaha secara berterusan bagi menangani isu tersebut secara berhemah, inklusif dan adil.
Menurut beliau, meskipun penyelesaiannya mengambil masa yang panjang, komitmen berterusan pentadbiran negeri mampu menghasilkan situasi menang-menang untuk semua pihak terlibat.
"Minggu lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sendiri telah turun padang bagi memastikan pelan penyelesaian dapat dilaksanakan sebaik mungkin," katanya menerusi satu kenyataan.
Terdahulu pada Khamis, Menteri Besar memaklumkan bahawa seramai 44 keluarga di perkampungan berkenaan pada dasarnya bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kawasan tersebut oleh Kerajaan Negeri.
Kawasan itu jelasnya perlu dibangunkan secara lebih teratur memandangkan sebahagian rumah dibina di atas rizab jalan, selain wujud ketidakpadanan antara kedudukan rumah dengan lot tanah seperti yang dinyatakan dalam geran.
Tambahnya, projek pembangunan itu juga bertujuan menjamin manfaat jangka panjang kepada penduduk di samping meningkatkan kualiti infrastruktur di daerah Gombak.
Saifuddin sementara itu menegaskan pendekatan dialog, rundingan serta kehadiran kepimpinan tertinggi negeri membuktikan Kerajaan Negeri tidak mengambil sikap lepas tangan terhadap nasib penduduk, sebaliknya memilih penyelesaian yang mampan dan berkeadilan.
Pendekatan tersebut sekaligus menggagalkan cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk memanipulasi isu berkenaan sehingga mencetuskan polemik politik sempit dalam kalangan rakyat.
"Tidak semua pihak mungkin berpuas hati sepenuhnya, namun penyelesaian ini adalah langkah terbaik demi menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat," jelas Saifuddin dalam kenyataan itu.









Comments