top of page

Pendekatan berhemah PM tangani isu rumah ibadat dihargai - YADIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 12
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyambut baik dan menyokong penuh pendirian tegas Perdana Menteri berhubung isu pembinaan dan operasi rumah ibadat yang tidak mempunyai kelulusan.


Yang Dipertuanya, Datuk Dr Hasan Bahrom (gambar) berkata, arahan Perdana Menteri supaya semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang sewajarnya adalah selari kerangka Malaysia Madani.


Arahan tersebut jelasnya menekankan penyelesaian secara berhemah, berperikemanusiaan dan berpandangan jauh sesuai prinsip kesejahteraan dan hormat menghormati.


"Ketegasan ini bukan bertujuan menekan kebebasan beragama, sebaliknya memastikan kebebasan itu dilindungi melalui sistem yang adil dan berasaskan undang-undang.


"Dalam kerangka Malaysia Madani, undang-undang bukan sekadar alat hukuman, tetapi mekanisme keadilan sosial yang memastikan tiada pihak mendapat kelebihan secara tidak sah dan tiada komuniti dizalimi," katanya dalam kenyataan.


Dr Hasan Bahrom juga mengingatkan bahawa sejarah menunjukkan pembiaran isu sensitif berkaitan agama dan tanah, jika tidak ditangani secara berprinsip boleh mencetuskan ketegangan yang lebih besar dan sukar dipulihkan.


Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 3(1) jelasnya telah menetapkan Islam sebagai Agama Persekutuan namun pada masa sama menjamin kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.


"Pelaksanaan arahan Perdana Menteri secara tegas dan menyeluruh mampu mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, menutup ruang eksploitasi oleh pihak ekstrem, menjamin keselamatan awam serta memperkukuh keharmonian antara agama secara tulen.


"Keharmonian yang dibina mestilah bersifat tulen dan berteraskan keadilan, bukan sekadar bersifat kosmetik atau sementara," tambahnya.


Menerusi kenyataan tersebut, beliau turut menyatakan komitmen YADIM untuk menyokong usaha kerajaan memperkukuh kefahaman masyarakat, menjadi jambatan dialog antara agama dan komuniti selain memperkasa dakwah yang mendidik, dan menyatukan rakyat.


"YADIM akan terus memainkan peranan mendidik masyarakat supaya isu sensitif berkaitan agama dapat ditangani secara matang, rasional dan berlandaskan undang-undang," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page