Pendekatan air percuma Selangor wajar dicontohi – PM
- Suara Keadilan
- 53 minutes ago
- 1 min read

Pendekatan pentadbiran Selangor yang menyalurkan bekalan air bersih percuma kepada golongan berpendapatan rendah wajar dicontohi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen Kerajaan Negeri mengekalkan tarif air munasabah untuk rakyat keseluruhannya membuktikan komitmen negeri menjaga kebajikan dan daya saing ekonomi.
"Bagi kita soal air dan tenaga ini bukan sahaja dapat disediakan tapi nak dikawal supaya dengan kadar harga yang munasabah dan tidak membebankan rakyat.
"Selangor catat rekod sebagai negeri pertama yang menjamin kemudahan bekalan air bersih kepada rakyat miskin secara percuma dan pada kadar berpatutan. Jadi saya ucap tahniah. Tumpuan kita, ini dapat kita kembangkan," katanya dipetik.
Perdana Menteri berkata begitu ketika merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di Hulu Langat pada Rabu.
LRA Langat 2 bernilai RM4.2 bilion mempunyai kapasiti 1,130 juta liter sehari (JLH) melibatkan penyaluran air mentah dari Empangan Kelau, Pahang melalui muka sauk Sungai Semantan dan terowong sepanjang 44.6 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa.
Loji tersebut bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1.87 juta pengguna meliputi 350,000 akaun di sekitar Lembah Klang.
Sementara itu tegas Perdana Menteri, keupayaan negara menyediakan bekalan air dan tenaga yang moden serta mampan menjadi faktor tarikan pelabur asing ke Malaysia.
"Antara sebab Malaysia menjadi tarikan pusat data, teknologi baharu, semi konduktor ialah kemudahan air dan tenaga. Jadi air dan tenaga terlalu strategik, kalau mahu melabur perkara wajib ditanya ialah air dan tenaga.
"Kita tak dapat pertahankan kredibiliti sebagai negara yang aman dan cekap kalau hal-hal asas seperti air dan tenaga tidak dapat diselesaikan," jelasnya.