Pendekatan agresif AS: Negara lemah dipaksa, dunia perlu sistem multipolar
- Suara Keadilan

- Jan 6
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tindakan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Venezuela mencetuskan kebimbangan serius komuniti antarabangsa apabila ia dilihat sebagai pelanggaran
undang-undang antarabangsa dan bukti peningkatan pendekatan agresif Washington dalam mempertahankan kepentingan strategiknya.
Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah (gambar) berkata, serangan terhadap Venezuela itu menggambarkan AS terdesak untuk menguasai minyak negara berkenaan yang merupakan simpanan minyak antara terkaya di dunia.
Selain itu, Raja Bahrin turut khuatir tindakan yang dilakukan ke atas Venezuela akan menjadi 'polisi penyelesaian' selepas ini ke atas negara negara yang kaya bahan mentah tetapi enggan mengikut telunjuk kuasa besar itu, terutama di benua Afrika.
"Venezuela yang terletak di Amerika Selatan bukan sahaja dekat dengan AS, malah mempunyai simpanan minyak yang sangat besar dan amat diingini oleh AS.
"Keinginan negara-negara Barat untuk mengawal dan memiliki sumber semula jadi negara lain pada masa kini telah mendorong banyak negara Afrika berusaha keras menyingkirkan kuasa Barat asing daripada mengeksploitasi sumber asli kekayaan mereka.
"Ini amat jelas melalui kepimpinan Ibrahim Toure dari Burkina Faso yang mengetuai gerakan nasionalis kuat di benua Afrika. Kebangkitan ini sangat ketara di Afrika," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, kata Raja Kamarul, dunia mempunyai keperluan mendesak untuk beralih kepada sistem dunia berbilang kutub (multipolar) yang menjamin kebebasan setiap negara membuat pilihan, terutama melalui kerjasama antara kerajaan BRICS.
"Di sinilah BRICS menawarkan alternatif yang sangat diperlukan kepada dunia. Banyak negara kini berpaling kepada China dan Rusia berdepan dengan tindakan kewangan dan ketenteraan AS yang amat agresif.
"Adalah tidak boleh diterima bahawa dalam dunia moden dan canggih ini, undang-undang antarabangsa dicabuli dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICC) diabaikan oleh AS.
"Kecaman negara-negara antarabangsa terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh AS dalam serangan ke atas Venezuela tidak dihirau dan bermakna bagi AS.
"Colombia dan Mexico juga telah diberi amaran oleh AS bahawa mereka mungkin turut menjadi sasaran sekiranya gagal mematuhi tuntutan AS," ujarnya.
Seperkara lagi kata Raja Kamarul, Denmark telah memberi amaran kepada AS mengenai kemungkinan pencerobohan ke atas Greenland demi sumber asli yang kaya, seperti yang diancam oleh Trump.
Ujarnya pencerobohan AS ke atas Greenland akan menandakan berakhirnya pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
"Jika sebuah negara anggota NATO sendiri pun berasa tidak selamat, apakan lagi maknanya bagi seluruh dunia bertamadun dalam menghadapi hegemoni agresif AS?," soal beliau.









Comments