Pendekatan 3K Kerajaan Madani langkah progresif martabat pekerja - Cuepacs
- Suara Keadilan
- May 2
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pendekatan diambil Kerajaan MADANI berasaskan Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan (3K) merupakan langkah holistik dan progresif ke arah meningkatkan martabat pekerja di negara ini termasuk penjawat awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong penuh inisiatif serta dasar yang diumumkan Kerajaan sempena Hari Pekerja 2025 bertemakan 'Pekerja Kesuma Bangsa, Malaysia MADANI', semalam.
''Antara pendekatan yang amat dialu-alukan oleh kami termasuk menyelaraskan gaji penjawat awam sehingga 15% yang menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kos sara hidup semasa.
''Kedua, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 yang bakal memanfaatkan lebih 4.3 juta pekerja, termasuk pekerja sokongan dalam sektor awam.
''Ketiga adalah tentang perluasan perlindungan sosial PERKESO kepada 24 jam serta penambahan manfaat SIP seperti Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Latihan dan Elaun Mobiliti,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Adnan lagi, pendekatan lain yang diharapkan adalah seperti komitmen terhadap pembangunan kemahiran digital dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk pelancaran aplikasi MYFutureJobs dan pelaburan besar dalam latihan melalui HRD Corp.
''Selain itu, pengiktirafan kepada ahli kesatuan sekerja melalui Kad Pekerja MADANI, yang memberi manfaat diskaun dan keistimewaan kepada lebih sejuta ahli.
''Akhir sekali adalah berkaitan penyelarasan undang-undang buruh Sabah dan Sarawak, yang akhirnya menyelesaikan ketidakseimbangan perundangan selepas dua dekad,'' ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Adnan berkata pihaknya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas kesungguhan melibatkan kesatuan sekerja dalam pembangunan dasar tenaga kerja negara.
''Cuepacs percaya segala usaha ini akan menjadikan Malaysia MADANI lebih seimbang, adil dan inklusif kepada seluruh warga pekerja.
''Kami menyeru semua pihak kerajaan, majikan dan pekerja agar terus memperkukuh kolaborasi demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan pekerjaan dalam persekitaran kerja yang lebih kondusif, kompetitif dan berdaya saing.
'''Pekerja Inovatif, Pemacu Transformasi' merupakan semangat Hari Pekerja yang ingin terus kam nyalakan demi kemajuan negara,'' katanya.
Comments