
Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua - Littoral Combatant Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia yang dibentang di Parlimen hari ini menunjukkan berlaku pelbagai masalah dalam proses penyiapan kapal berkenaan.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) meminta penjelasan lanjut daripada Kementerian Pertahanan berkenaan wang yang telah dibayar sebanyak 60% daripada jumlah kontrak RM9.2168 bilion, namun kapal yang dipesan masih tidak diketahui tahap pembinaannya setelah 11 tahun.
"Tadi kita dimaklum oleh PAC sebahagiannya, ini pada hemat saya kontrak yang paling besar melibatkan skandal besar. Kontrak berjumlah RM9.2168 bilion yang telah dibayar RM6 bilion, iaitu 66.4%
"Tetapi belum ada tanda LSC akan disiapkan.
"Kita dah dedahkan laporan PAC. Saya usulkan dalam konteks ini, pertama untuk pastikan projek ini, fasa 2 dan 3 dipantau (pembinaannya)
"Menteri Pertahanan pada ketika itu, Ketua Setiausaha mesti dipanggil dan minta keterangan dari mereka. Bukan (hanya) setakat pengurusan di bawah," katanya dalam sidang media di Parlimen, petang ini.
Mantan Menteri Kewangan Malaysia itu bertegas kontrak pembinaan kapal sebesar itu mesti telah diputuskan oleh peringkat atasan, maka kesemua mereka perlu disiasat untuk mengetahui apakah punca kapal yang telah hampir dibayar penuh itu masih tidak disiapkan.
"Saya tidak percaya projek bernilai (telah dibayar) RM6 bilion itu diputuskan di peringkat bawah. Mesti diputuskan oleh Menteri. Ini melibatkan kos kepada negara RM9.2168 bilion
"Oleh yang demikian saya katakan untuk projek berikutnya kita minta dihentikan. Siapkan yang sedia ada," katanya.
Ketua Pembangkang itu juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk segera melakukan siasatan kerana ketirisan tersebut tidak boleh dibiarkaan berlalu begitu sahaja.
"Saya tuntut SPRM segerakan siasatan ini, dan jangan lengahkan kemudian kita semua lupa," katanya.