top of page

Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara: Reformasi pentadbiran sedang berjalan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 22
  • 2 min read
ree

Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 di Dewan Rakyat meliputi pelbagai ketirisan dan kelemahan tadbir urus projek serta program melibatkan tujuh Kementerian tidak bermakna telah berlaku sesuatu yang menghakis integriti Kerajaan Madani, sebaliknya menandakan proses reformasi pentadbiran sedang bermula.


Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Nabil Halimi berkata, hal itu juga membuktikan bahawa agenda reformasi yang sekian lama tertangguh kini berjalan lancar.


"Ini merupakan satu batu asas yang penting, apabila pendedahan ketirisan dibongkarkan di dalam agensi maka pihak kerajaan dapat memperbetulkan kesalahan dari sudut pengurusan dan pelaksanaan.


"AMK yakin Kerajaan Madani komited dalam usaha memperkukuh tatakelola institusi kerajaan yang sedia ada.


"Sebagai contoh, hasil daripada pemerkasaan kuasa audit melalui pindaan Akta Audit 1957, Jabatan Audit Negara kini bukan sekadar memeriksa tetapi juga berkuasa melakukan siasatan susulan ke atas tindakan yang diambil pihak terbabit.


"Hasilnya, kerajaan telah berjaya memulihkan sejumlah RM157.73 juta dalam bentuk penalti, denda, kutipan cukai serta tuntutan sewaan dan pampasan kelewatan projek (LAD)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sehubugan itu, ujar Nabil, AMK berpandangan selepas ini Kerajaan Madani harus lebih tegas dalam menggiatkan pemantauan yang berterusan, serta mengemaskini tatacara perolehan supaya masalah rasuah, kebocoran dan ketirisan dapat dibendung sepenuhnya.


"Malah, langkah yang diambil akan dapat mengelakkan pembaziran serta secara tidak langsung wang negara dapat dijimatkan dalam usaha menganjak sektor ekonomi negara ke tahap yang lebih baik," katanya.


Manakala Laporan Ketua Audit Negara yang telah didedahkan, tambah beliau, perlu disiasat sesegera mungkin agar rakyat tidak menyamakan Kerajaan Madani dengan kerajaan terdahulu yang banyak menyembunyikan salah laku.


"Oleh yang demikian, AMK menegaskan bahawa siasatan lanjut dari laporan ini wajar dipercepatkan dan pesalah wajar dibawa kemuka pengadilan (secepat yang boleh)," katanya lagi.


Untuk rekod, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 telah mendedahkan wujud kelemahan tadbir urus dan ketidakpatuhan dalam pelbagai projek dan program kerajaan bernilai RM48.78 bilion.


Namun menurut Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, angka tersebut adalah nilai projek yang diaudit, bukannya jumlah wang yang hilang sebagaimana yang sering diputarbelit di media sosial.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page