
Sempena Hari Kebangsaan ke 65, Kerajaan Negeri mengumumkan had pendapatan baharu yang layak menerima skim air percuma 20 meter padu.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari had pendapatan sebelum ini RM4,000 telah dinaikkan kepada RM5,000.
Katanya, bagi yang mempunyai pendapatan di bawah had kelayakan itu boleh memohon air percuma, dan dijangka 100,000 lagi pemegang akaun Air Selangor akan mendapat manfaat berkenaan.
"Mulai Oktober kita akan mula pendaftaran baharu kerana skim sebelum ini had kelayakan pendapatan RM4,000 ke bawah, kita naikkan RM5,000 ke bawah supaya lebih ramai dapat air percuma,” katanya.
Amirudin mengumumkan perkara tersebut dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.
Pada waktu ini Kerajaan Negeri memberlanjakan RM30 juta setahun bagi skim air percuma dan sebanyak 237,000 akaun pengguna menikmati Skim Air Darul Ehsan dengan pendaftaran masih terbuka kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember 2024.
Syarat kelayakan pemohon mestilah warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.
Maklumat lanjut boleh layari https://www.airselangor.com/residen…/skim-air-darul-ehsan/