
Pendakwaan di bawah Akta Hasutan ke atas Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor pagi tadi tidak dilakukan atas faktor politik.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, tiada satu pun tuduhan yang dikenakan ke atas Sanusi kerana mengkritik atau mencerca pemimpin kerajaan sebaliknya menyentuh maruah Raja raja Melayu.
"Pendakwaan ke atas Sanusi tiada kaitan dengan politik. Kertas pendakwaannya ialah menyentuh institusi raja," kata Fahmi dipetik.
Malah menurut Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu, bukan sahaja rakyat yang membuat laporan polis tetapi juga Ahli Dewan di-Raja Selangor, menunjukkan betapa terkesannya pihak Istana Selangor berhubung persendaan MB Kedah itu.
"Ahli Dewan Diraja Selangor telah membuat laporan polis kerana Sanusi menghina martabat raja.
"Ketua Polis Negara, Perdana Menteri dan Sultan Selangor sendiri telah memberi peringatan agar tidak menyentuh isu 3R. Yang sentuh juga kenapa?" soalnya.
Mengenai tuduhan pembangkang bahawa pendakwaan itu menafikan kebebasan bersuara rakyat, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital menafikannya.
Katanya, hak bersuara dijamin Perlembagaan, namun tidak boleh menggunakan hak itu untuk memfitnah atau mencerca.
"Kita ada hak bersuara tapi hak untuk bebas fitnah dan membangkitkan isu perkauman. Ini yang dimaksudkan dengan kebebasan," katanya lagi.