Pencemaran Sungai: Pas Selangor Gagal Ikut Perkembangan Semasa
- Suara Keadilan

- Jan 31
- 3 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Selangor, Zurk Ahmad telah mempertanggungjawabkan Kerajaan Madani Selangor atas isu kejadian warna air sungai yang berubah menjadi merah jambu di Sungai Kabul, Beranang pada 14 Januari 2025 sehingga Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) terpaksa mengaktifkan kod kuning di sungai tersebut.
Pas Selangor mendakwa kejadian yang berlaku di Sungai Kabul ini sebagai indikator bahawa lemahnya pelaksanaan dasar dan undang-undang sedia ada oleh Kerajaan Madani Selangor terhadap premis kilang yang dibiarkan beroperasi sehingga menjejaskan sungai-sungai yang ada di Negeri Selangor.
Tidak berlaku sebarang pencemaran
Dakwaan Pas Selangor ini ternyata tersasar daripada fakta sebenar kerana Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesahkan tidak berlaku sebarang pelepasan sisa-sisa industri ke dalam Sungai Kabul, Beranang oleh mana-mana kilang.

Walaupun pada peringkat awal LUAS beranggapan bahawa pencemaran berkenaan dipercayai berpunca daripada sebuah premis kilang di kawasan perindustrian Beranang, namun setelah siasatan lanjut dilakukan ternyata tiada pelanggaran undang-undang dilakukan oleh mana-mana kilang.
Keadaan ini menunjukkan penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya mendisplinkan pengusaha-pengusaha kilang daripada terlibat dengan aktiviti pencemaran. Sehingga kini LUAS masih mencari punca sebenar pencemaran tersebut, namun kemungkinan tidak dapat ditolak jika berlaku perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan sungai di Negeri Selangor seperti yang pernah berlaku pada tahun 2019 dan 2020.
Pemutihan kilang haram
Kejayaan pemutihan status kilang yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor semenjak 31 Julai 2006 di bawah Program Kilang Haram telah menunjukkan hasil yang positif menjelang tahun 2020 di mana mantan Exco Alam, Sekitar, Teknologi Hijau & Hal Ehwal Pengguna dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian telah mengesahkan pada tahun berkenaan sepanjang Sungai Selangor tiada kilang-kilang haram yang beroperasi.
Kesemua kilang yang ada di sepanjang sungai Selangor beroperasi dengan kebenaran oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemeriksaan secara berkala dilakukan oleh PBT dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di setiap premis kilang supaya tidak berlaku pelanggaran undang-undang.
Jika berlaku pelanggaran undang-undang yang membawa kepada pencamaran maka ia akan dapat dikesan dengan segera memandangkan Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor telah melibatkan penduduk tempatan untuk sentiasa memerhati dan berwaspada.
Pantau guna dron
Pemantauan keselamatan sungai-sungai di negeri Selangor daripada aktiviti pencemaran turut diperkasakan melalui penggunaan dron berteknologi tinggi yang bertaraf ketenteraan, dron terbabit digunakan untuk memantau kawasan-kawasan yang sukar di masuki oleh anggota PBT dan JAS secara fizikal (terutama di dalam kawasan hutan dan gunung).
Dron tersebut mampu mengesan punca pencemaran selain mengambil sampel air di kawasan terpencil, dron yang beroperasi memantau sungai-sungai di seluruh Negeri Selangor setiap hari diuruskan oleh Skuad Pantas LUAS yang turut dianggotai oleh jurutera pemantauan dan pakar ujian sampel air sungai.
Pas Selangor juga kelihatan dangkal apabila mendakwa Kerajaan Madani Selangor tidak memberi fokus dan dana bagi membangunkan polisi dan dasar yang lestari, proaktif dan inklusif bagi menangani isu-isu pencemaran sungai. Hakikatnya Kerajaan Negeri Selangor telah melakukan pindaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan pindaan terhadap Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada tahun 2022.
Pindaan terhadap Akta 665 telah meningkatkan jumlah denda sehingga RM 10 juta manakala Enakmen LUAS pula meningkatkan denda maksimum sebanyak RM 1 juta. Hasil pindaan undang-undang tersebut memperlihatkan insiden pencemaran air di Selangor mengalami pengurangan dengan hanya dua insiden dikesan pada tahun 2022 berbanding sembilan insiden pada tahun 2020.
Kesimpulannya tindakan Pas Selangor melakukan dakwaan tidak berasas kepada Kerajaan Madani Selangor atas isu pencemaran Sungai Kabul adalah cubaan untuk mengelirukan rakyat semata-mata.
Naratif cuba dibina untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Madani Selangor berlepas tangan terhadap kilang-kilang yang menyebabkan pencemaran tersebut, namun hakikatnya Kerajaan Madani Selangor telah berjaya mengurangkan masalah pencemaran air melalui usaha pemantapan undang-undang dan pemantauan yang berterusan.
______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor









Comments