Pencapaian perdagangan empat bulan 2026 RM1 trilion, luar biasa - Timb. MITI
- Akmal Manaf

- 3 minutes ago
- 2 min read

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin (gambar) menyifatkan prestasi perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga April 2026 sebagai amat luar biasa apabila jumlah perdagangan negara berjaya melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh hanya empat bulan, iaitu sebulan lebih awal berbanding pencapaian tahun sebelumnya.
Beliau berkata, sejak hari pertama memegang jawatan, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bekerja tanpa henti untuk menarik pelaburan asing dan domestik ke dalam negara.
"Selama tiga tahun berturut-turut di bawah kepimpinan PMX (Anwar), Malaysia mencatat pencapaian pelaburan bersejarah iaitu RM329.5 bilion pada 2023, RM384.4 bilion (2024) dan RM426.7 bilion (2025).
"Secara keseluruhan, Malaysia berjaya memperoleh RM1.14 trilion pelaburan diluluskan di bawah pentadbiran beliau.
"Projek pelaburan lazimnya mengambil masa untuk direalisasikan. Bermula daripada proses pengambilan tanah, pembinaan kilang, pemasangan mesin, pengambilan pekerja sehingga operasi bermula, impak penuh biasanya hanya dapat dilihat selepas beberapa tahun.
"Kini, selepas tiga tahun usaha keras Kerajaan MADANI pelaburan tersebut mula membuahkan hasil," katanya.
Dalam pada itu, Tze Tzin turut memperincikan bahawa jumlah perdagangan negara bagi tempoh Januari hingga April 2026 mencatat RM1.127 trilion.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, eksport merekodkan RM609.31 bilion, manakala import pula sebanyak RM517.40 bilion dengan lebihan dagangan berjumlah RM91.92 bilion.
"Lebihan dagangan meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya kepada RM91.92 bilion.
"Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan semuanya mencatat paras tertinggi dalam sejarah bagi tempoh Januari hingga April.
"Inilah hasil kerja keras PMX. MITI, Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan semua agensi berkaitan juga wajar diberikan penghargaan," ujarnya.
Pembangkang pula, nasihat Tze Tzin, perlu bermuhasabah diri apakah mampu menandingi pencapaian PMX selain hanya beretorik untuk mengambil alih pemerintahan negara.
"Kepada pihak pembangkang yang terus menyerang Perdana Menteri, ini adalah prestasi ekonomi cemerlang yang sukar dinafikan.
"Malah, negeri-negeri ditadbir pembangkang turut menerima manfaat daripada momentum ekonomi luar biasa Malaysia," kata beliau yang juga Pengarah Strategi KEADILAN.




Comments