Pencapaian membanggakan! - PM Anwar ucap tahniah kehebatan atlet Malaysia


Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kontinjen Malaysia selepas berjaya menuai sembilan pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun sekali gus menyamai pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negara di temasya berkenaan.
Perdana Menteri berkata pencapaian itu menyerlahkan kehebatan serta kesungguhan luar biasa atlet negara dalam mengharumkan nama Jalur Gemilang di pentas Asia.
“Kontinjen negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 kini mengumpul sembilan pingat emas, satu pencapaian membanggakan yang menyerlahkan kehebatan dan kesungguhan luar biasa atlet Malaysia dalam mengharumkan nama Jalur Gemilang di pentas Asia,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Tiga emas terbaharu disumbangkan jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang menerusi acara keirin lelaki selain dua emas daripada skuad skuasy negara dalam acara berpasukan lelaki dan wanita.
Azizulhasni menewaskan pelumba China, Li Zhiwei dengan catatan 10.330 saat untuk meraih emas keirin sekali gus mengulangi kejayaannya dalam acara sama pada Sukan Asia Guangzhou 2010.
Pingat itu juga merupakan emas ketiganya di pentas Sukan Asia.
Skuad skuasy wanita yang dibarisi Aifa Azman, S. Sivasangari, Aira Azman dan Rachel Arnold pula menewaskan Hong Kong 2-1 untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi Hangzhou 2022.
Skuad lelaki yang terdiri daripada Ng Eain Yow, Sanjay Jeeva, C. Ameeshenraj dan Mohammad Syafiq Kamal kemudian menundukkan Pakistan 2-0 dalam final sekali gus menamatkan penantian lapan tahun Malaysia untuk kembali bergelar juara berpasukan lelaki.
Kejayaan dua pasukan skuasy itu menjadikan cabang berkenaan penyumbang empat emas kepada kontinjen Malaysia selepas Ng Eain Yow dan S. Sivasangari terlebih dahulu mempertahankan kejuaraan masing-masing dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.
Sebelum itu, Malaysia membuka kutipan emas menerusi atlet karate Adeola Fay Robert dalam acara kumite wanita bawah 55 kilogram sebelum C. Shahmalarani menyumbang emas kedua negara dalam kumite wanita bawah 50 kilogram.
Jaguh e-sukan Taj Izrin Aiman Taj Madira pula menghadiahkan emas menerusi acara Gran Turismo 7 (GT7) manakala skuad sepak takraw negara menamatkan kemarau 36 tahun untuk meraih emas acara regu berpasukan lelaki selepas menewaskan Thailand 2-0.

Secara keseluruhan, sembilan emas Malaysia di Aichi-Nagoya 2026 hadir menerusi dua emas karate, satu e-sukan, satu sepak takraw, dua skuasy perseorangan, dua skuasy berpasukan dan satu berbasikal trek. Kutipan itu menyamai rekod sembilan emas yang dilakar Malaysia pada Sukan Asia Guangzhou 2010.
Pencapaian itu juga melepasi sasaran awal kontinjen Malaysia sebanyak enam emas yang ditetapkan sebelum temasya dengan kontinjen negara sebelum ini menyasarkan keseluruhan 33 pingat terdiri daripada enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa.
Anwar berkata perjuangan kontinjen negara masih belum berakhir apabila Malaysia mempunyai dua peluang terakhir untuk menambah koleksi emas pada hari terakhir saingan, iaitu menerusi gandingan padel lelaki Christian Didier Chin dan Aidan Yunus serta skuad hoki lelaki.
“Esok (hari ini), perjuangan memburu emas diteruskan oleh gandingan padel lelaki, Christian Didier Chin dan Aidan Yunus serta skuad hoki lelaki yang akan beraksi di pentas final. Sama-sama kita doakan kejayaan mereka,” katanya.
Kejayaan menambah satu lagi emas akan membolehkan Malaysia melepasi rekod sembilan emas yang dicatat di Guangzhou sekali gus melakar kutipan emas tertinggi negara dalam sejarah penyertaan di Sukan Asia.




Comments