Pencapaian kerajaan diukur dengan prestasi, bukan persepsi Pas - Kamil Munim
- Suara Keadilan

- Dec 21, 2025
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) membidas Presiden Pas Hj Abdul Hadi Awang yang dilaporkan melabel agenda reformasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘diimport dari Barat’.
Ketuanya Muhamad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata, pendekatan Hj Hadi yang menggambarkan reformasi sebagai agenda penjajah atau pro-Barat adalah sebahagian usaha berterusan pembangkang untuk mengelirukan masyarakat dengan menanam politik ketakutan sekaligus membangkitkan kebencian terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Prestasi kerajaan perlu dinilai berdasarkan pencapaian sebenar dan bukan persepsi atau retorik yang dicipta untuk menakut-nakutkan masyarakat.
"Pencapaian prestasi kita dalam soal (perangi) rasuah, tatakelola pengurusan itu perlu diukur dengan angka. Buktinya pelaburan kita meningkat, pengangguran kita menurun, inflasi terkawal dan pertumbuhan ekonomi baik. Ini yang sebenarnya kita kena lihat.
"Pencapaian kerajaan dalam aspek tatakelola dan penguatkuasaan undang-undang dapat dilihat melalui penjimatan subsidi, serta kejayaan menyelamatkan RM15.5 bilion hasil menerusi pengurusan pentadbiran yang lebih berkesan," katanya dalam wawancara bersama portal FMT.
Sementara itu, Kamil Munim menyelar Pas yang mudah menghalalkan sesuatu perkara jika sejalan dengan mereka, namun mengharamkan dan menolak segala usaha pihak lain yang tidak sehaluan, termasuk reformasi yang membawa manfaat kepada rakyat.
"Reformasi dilabel sebagai istilah Barat semata-mata kerana penggunaan bahasa Inggeris, namun dianggap ‘Islamik’ sekiranya diganti dengan istilah Arab.
"Ini modus operandi yang biasa digunakan oleh pimpinan Pas. Kalau nak halalkan sesuatu benda, harus bersama mereka. Kalau tidak bersama mereka, haram semua, semua salah," tambahnya.









Comments