
Pencalonan Pemilihan KEADILAN 2022 peringkat Cabang di negeri Selangor setakat hari ini menerima kehadiran calon calon dari lebih 10 Cabang .
Menurut Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Negeri, Mazli Saring, biar pun KEADILAN telah memperkenalkan pendaftaran pencalonan secara atas talian namun masih ramai yang pergi ke pusat pencalonan yang dibuka di Petaling Jaya kerana terdapat beberapa pegawai yang ditugaskan di situ untuk membantu.
"Kita telah memulakan proses pencalonan untuk Pemilihan 2022 KEADILAN semalam, disambung hari ini.
"Proses berjalan lancar. Dari 22 Cabang kita terima lebih 10 Cabang yang datang secara fizikal.
"Kalau di luar, apa yang kita panggil Pengundi Atas Talian (PAT) selama 3 hari ini (boleh mendaftar) di mana sahaja. Di sini kita lakukan secara fizikal bermodulkan online. Tak ada kertas digunakan. Kita ada pengawas untuk gunakan tablet," katanya.
Mengenai bayaran pencalonan pula, menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Selangor itu, hanya calon sahaja yang perlu membayar manakala pencadang tidak diperlukan.

"Menyentuh bayaran, banyak kata macam mana nak bayar. Kita dalam parti telah longgarkan syarat pembayaran. Contoh kalau calon mencalonkan diri, mereka kena bayar yuran anggota dan pencalonan. Tetapi untuk pencadang tidak perlukan bayaran.
"Sama juga pemilihan akan datang, pemilih tidak perlu bayar yuran," katanya.
Justeru, Mazli menyeru anggota yang belum mendaftar PAT agar segera mendaftar kerana di Selangor terdapat 300,000 ahli dan akan menyebabkan kesesakan sekiranya mereka mengundi secara fizikal.
Katanya, aplikasi yang dibangunkan oleh KEADILAN adalah selamat dari sebarang pencerobohan dan anggota tidak perlu khuatir mengenai keselamatan digital.
"Sistem ini tidak boleh diceroboh, sistem aplikasi. Orang yang pegang kata laluan sahaja boleh ceroboh. Tetapi kalau ceroboh sistem akan berubah (dan pencerobohan akan dikesan).
"Benda ini 99% selamat," katanya lagi.
Oleh itu, beliau berharap lebih banyak anggota akan mengundi pada kali ini melebihi 30% kerana pada pemilihan 2018 jumlah yang keluar mengundi hanya 20%.