
Penarafan terbaharu Fitch Ratings ke atas kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan stabil bagi tahun 2023 mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan sekarang.
Keyakinan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengulas kenyataan agensi penarafan tersebut
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kenyataan agensi penarafan antarabangsa itu menunjukkan keyakinan mereka terhadap kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar.
"Penarafan Malaysia diimbangi oleh ekonomi yang pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh walaupun hutang negara adalah tinggi serta asas hasil yang rendah berbanding perbelanjaan mengurus," katanya.
Pada Rabu, Fitch menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan menyederhana kepada 4.0 peratus pada 2023 dan 4.8 peratus pada 2024 yang disumbang usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah pemulihan dan sokongan ke arah pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meluas.
Agensi penarafan itu juga menjangkakan agar sektor perkhidmatan terus dirangsang oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, inflasi yang terkawal dan pemulihan dalam sektor berkaitan pelancongan.
Mereka turut berpendapat defisit fiskal akan berkurangan secara beransur-ansur kepada purata sekitar 4.5 peratus daripada KDNK pada 2023 - 2025, mengambil kira pelbagai faktor termasuk rasionalisasi perbelanjaan yang lebih baik dan langkah mobilisasi hasil yang berkesan.
"Trend pertumbuhan jangka sederhana dijangka kekal teguh antara empat dan lima peratus," kata Fitch.
Sementara itu menurut Anwar, kerajaan berazam untuk memastikan kedudukan fiskal negara terus kukuh melalui penyatuan defisit fiskal secara beransur-ansur sambil mengimbangi keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi semasa zaman mencabar ini di peringkat global.
"Melalui Belanjawan 2023, kerajaan akan terus mempergiatkan usaha reformasi untuk memacu pemulihan ekonomi negara, meningkatkan pelaburan dan menambah baik infrastruktur awam.
"Penekanan berterusan juga akan diberikan kepada inisiatif untuk mengawal tekanan inflasi dan meringankan beban rakyat daripada kos sara hidup yang tinggi," katanya.
Belanjawan 2023 juga menurutnya akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kewangan dan tadbir urus negara, bagi menyokong komitmen kerajaan untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan tema Belanjawan 2023 iaitu "Membangun Malaysia Madani”.