Penapisan filem di bawah FINAS, pindaan akta perkasakan industri filem
- Suara Keadilan
- 48 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Penapisan filem di negara ini tidak berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi, sebaliknya terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula berperanan menguatkuasakan kod kandungan untuk digital dan secara dalam talian.
"Pindaan kepada Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau Akta 244 petang ini akan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan industri kandungan terutamanya dalam aspek aktiviti penggambaran dan penerbitan kandungan secara komersial.
"Di bawah Akta 244, FINAS bertanggungjawab mengurus dan menyelaras perkara-perkara seperti pengeluaran surat pengakuan penggambaran, pengakuan filem iklan buatan Malaysia bagi mengeluarkan pensijilan ‘Made in Malaysia dan pendaftaran aktiviti penggambaran untuk tujuan pemantauan dan perancangan dasar.
"Pendekatan yang diambil melalui pindaan ini bertujuan untuk memperkemas struktur industri perfileman negara, menyokong kreativiti dan inovasi serta memastikan industri ini terus berkembang dalam persekitaran yang teratur, profesional dan berdaya saing tanpa mengganggu ruang kreatif para penggiat seni," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid [PH-Bukit Bendera] mengenai rancangan Kementerian untuk pindaan Akta FINAS 1981 berkenaan peraturan untuk kandungan dalam talian seperti kandungan melalui platform penstriman dan juga media sosial.
Turut ditanya sama ada kementerian akan mengambil kira pandangan industri dan penyedia perkhidmatan penstriman dalam talian dalam proses pindaan Akta FINAS 1981.
Menjelas lebih lanjut, Nie Ching berkata, pindaan itu bukan sahaja membantu menyusun industri filem secara lebih sistematik, tetapi bertujuan melindungi kebajikan kru dan pekerja produksi tempatan.
Pada masa sama ujarnya, langkah itu juga bertujuan menggalakkan pembangunan kemahiran dan mewujudkan ekosistem perniagaan yang mampan dalam sektor kreatif tanah air.





