top of page

Penangkapan Presiden Venezuela cabuli undang-undang antarabangsa - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 5
  • 2 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan serius terhadap perkembangan di Venezuela susulan penangkapan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya dalam satu operasi ketenteraan oleh Amerika Syarikat yang disifatkan sebagai luar biasa dari segi skop dan sifatnya.


Menurut beliau, tindakan tersebut merupakan pelanggaran jelas terhadap Perkara 2(4) Piagam Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu yang mengiktiraf kedaulatan sesebuah negara serta penggunaan kekerasan yang menyalahi prinsip kedaulatan.


"Tindakan sedemikian merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas dan sama dengan penggunaan kekerasan yang menyalahi undang-undang terhadap sebuah negara yang berdaulat," kata PM dalam satu kenyataan.


Anwar menegaskan bahawa Presiden Maduro dan isterinya perlu dibebaskan segera, sambil memberi amaran bahawa penyingkiran secara paksa ketua kerajaan melalui campur tangan luar menetapkan duluan berbahaya dalam hubungan antarabangsa.


"Walau apa pun sebabnya, penyingkiran secara paksa ketua kerajaan yang sedang memerintah melalui kuasa luar menghakis sekatan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara, dan melemahkan rangka kerja undang-undang antarabangsa," ujarnya.


Beliau menegaskan bahawa masa depan politik Venezuela harus ditentukan sepenuhnya oleh rakyat negara itu sendiri tanpa sebarang paksaan luar.


"Terpulang kepada rakyat Venezuela untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri. Sejarah menunjukkan perubahan mendadak dalam kepimpinan yang dilakukan melalui kuasa luar akan membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan, apatah lagi dalam negara yang sudah bergelut dengan kesusahan ekonomi yang berpanjangan serta tekanan sosial yang mendalam," katanya.


Mengulas pendirian Malaysia, Anwar menegaskan bahawa penghormatan terhadap undang-undang dan kedaulatan antarabangsa merupakan asas penting dalam memastikan hubungan aman antara negara.


"Penglibatan konstruktif, dialog dan penyahskalaan kekal merupakan laluan paling sesuai yang mampu melindungi orang awam dan membolehkan rakyat Venezuela meneruskan aspirasi sah mereka," katanya lagi.


Untuk rekod, Presiden Maduro kini ditahan di New York, untuk disoal siasat oleh agen persekutuan AS di atas tuduhan jenayah yang menjurus kepada penyeludupan dadah dari Venezuela ke AS.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page