top of page

Penanaman bakau, naik taraf benteng kurangkan risiko banjir pantai

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Oct 10, 2023
1 min read


Oleh: Abdullah Zaid


Masalah ha­kisan dan ban pecah di pesisir Pantai Barat Semenanjung membimbangkan penduduk di tepi pantai.


Sehubungan itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH - Setiawangsa) memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah tersebut melalui projek menaik taraf benteng dan penanaman semula pokok bakau di kawasan kritikal.


Katanya, projek pembinaan yang menelan kos RM47 juta itu diletakkan di bawah Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS) bermula pada awal tahun depan.


"Anggaran RM47 juta di bawah peruntukan RMK12 (Rancangan Malaysia ke-12) projek masih dalam proses pra pembinaan.


"Skop utama membina dan menaik taraf pantai sasarannya untuk memastikan 55 ribu penduduk di pesisiran Pantai Barat Semenanjung tidak menghadapi risiko banjir pantai dan limpahan air masin," katanya ketika dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.


Tambahnya, kerajaan pada ketika ini juga mengambil pendekatan ‘Green Infrastructure’ menggunakan kaedah penanaman pokok bagi menyelamatkan hakisan-hakisan pantai daripada terjejas.


"Setakat ini penanaman semula jadi pokok yang meliputi 3,300 hektar kawasan pesisiran pantai telah ditanam di seluruh negara.


"Di sekitar Selangor sahaja kita berjaya menanam 500 ribu pokok bakau dengan keluasan 210 hektar," ujarnya.


Dalam pada itu, kerajaan juga membuat pelan tindakan jangka panjang bukan berstruktur bagi mengurangkan risiko banjir pantai secara lestari.


"Ia mengambil mengambil kira faktor-faktor tempatan di pesisir pantai supaya ia dapat diselesaikan secara lestari dan menyeluruh," jelasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page