Penamatan diskaun 20% tambang komuter rugikan rakyat marhaen



Penamatan Inisiatif Diskaun Tambang Komuter Xtra 20 yang dimaklumkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bermula 31 Disember 2020 merupakan kerugian kepada rakyat dan KTMB sendiri.


Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, diskaun itu yang diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019 selain memberi kebaikan kepada golongan marhaen yang menggunakan perkhidmatan komuter, juga untuk mengurangkan kesan kejatuhan jumlah penumpang KTMB dalam menghadapi persaingan dengan pengangkutan awam lain.


"Seperti yang diumumkan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, pelaksanaan diskaun 20 peratus ini adalah sebuah langkah mengurangkan beban kos sara hidup rakyat. Inisiatif ini diperkenalkan di bawah kerajaan PH atas hasil maklum balas serta pandangan pelbagai pihak.


"Inisiatif yang diperkenalkan pada Mac 2019 itu juga merupakan serampang dua mata. Selain daripada membantu rakyat secara tidak langsung ia akan membantu peningkatan kadar penggunaan KTMB yang tidak konsisten.


"Mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan KTMB mengalami pengurangan bilangan penumpang yang kritikal bermula dari tahun 2016 sehingga 2019.


"Penurunan drastik bilangan penumpang sehingga 32 juta setahun pada 2019 berbanding 50 juta setahun pada 2015 berlaku atas beberapa faktor antaranya kualiti perkhidmatan, persaingan dengan kemudahan awam lain serta kadar harga tiket," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Jurucakap Telekomunikasi, Digital dan Pengangkutan KEADILAN itu lagi, dengan peruntukan besar yang diberikan kepada KTMB untuk memperkasa pengangkutan awam dalam Belanjawan 2021 penamatan diskaun tersebut merupakan satu kesilapan besar dan meningkatkan kecaman rakyat terhadap dasar pemulihan ekonomi kerajaan Perikatan Nasional pasca Covid 19.


"Saya telah bangkitkan persoalan dalam Parlimen mengenai status kewangan KTMB, yang menuntut kerajaan berbelanja besar bagi memperkasakan KTMB.


"Dengan peruntukan dalam Belanjawan 2021 memakan ratusan juta ringgit, saya menganggap penamatan Inisiatif Diskaun Xtra 20 ini adalah langkah ke belakang yang boleh menggugat prestasi KTMB sendiri.


"Justeru, saya mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) agar meneliti semula penamatan inisiatif tersebut. MOT wajar mencari kaedah bagi mengurangkan beban rakyat yang menggunakan perkhidmatan KTMB sekiranya Inisiatif Diskaun Xtra 20 itu tidak diteruskan," katanya lagi.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio