top of page

Pemutihan SAP: Kerajaan Negeri telah longgarkan syarat ulasan PBT

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Jun 22, 2023
2 min read


Salah faham kononnya Kerajaan Negeri tidak menghiraukan masalah pendaftaran Sekolah Agama Persendirian (SAP) di Selangor yang diarah mendaftar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sengaja ditimbulkan sesetengah pihak setelah penjelasan dibuat minggu lalu.


Menurut Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, terdapat segelintir NGO yang menyatakan kononnya “Kerajaan Negeri tidak memberikan apa-apa jawapan jelas bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengusaha Sekolah Agama Persendirian”, sedangkan katanya, kerajaan Selangor telah berusaha melonggarkan syarat yang ditetapkan oleh PBT sebelum ini.


"Kerajaan Negeri telah mengarahkan kesemua 12 PBT yang ada untuk memulakan proses pemutihan Sekolah Agama Persendirian, kesemua wakil dan pengusaha SAP di Selangor telah dijemput untuk berbincang dan diberi penerangan berkenaan isu tersebut.


"Setiap PBT di Selangor mempunyai syarat untuk pembukaan SAP yang berbeza, namun syarat yang lebih ketat ditetapkan oleh PBT di kawasan bandar besar memandangkan wujud isu kesesakan lalulintas dan pencemaran udara serta bunyi.


"Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semenjak tahun 2021 telah menetapkan syarat ulasan PBT untuk setiap SAP membuat pendaftaran akademik, kelonggaran ulasan PBT telah diberikan kepada SAP ini selama dua tahun.


"Namun pada tahun 2023 JAIS mengambil pendirian tegas tidak menerima pendaftaran akademik dari SAP yang gagal mendapat ulasan PBT," katanya dalam keyataan hari ini.


Menurut Zawawi usaha melonggarkan syarat ulasan PBT itu jelas memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan mencuba sedaya upaya membantu SAP untuk kekal beroperasi.


"Hakikatnya Kerajaan Negeri berusaha bersungguh sungguh membantu SAP kekal beroperasi. Kesungguhan ini akan diteruskan pada masa hadapan melalui kerjasama yang telah dibina bersama Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai oleh 478 institusi SAP di Selangor," katanya lagi.


Untuk rekod, pendaftaran SAP dikuatkuasakan atas titah Sultan Selangor yang tidak mahu sekolah agama berkeadaan tidak selamat dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa pelajar sekiranya berlaku kebakaran dan sebagainya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page