top of page

Pemulihara bangunan warisan, sejarah jadi pedoman generasi akan datang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 1
  • 2 min read
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyempurnakan pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyempurnakan pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad

Oleh: Azuan Ab Rahman


Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad bukan sekadar usaha mengekalkan warisan fizikal, sebaliknya satu ikhtiar memastikan sejarah negara terus hidup, difahami dan dijadikan pedoman dalam menghadapi cabaran masa depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata, bangunan bersejarah yang dinamakan sempena Sultan Selangor dan dirasmikan oleh Frank Swettenham pada tahun 1897 itu bukan sekadar sebuah binaan fizikal, sebaliknya sebuah sejarah panjang yang menjadi saksi peredaran zaman.


"Bermula sebagai pejabat pentadbiran kolonial sehingga menjadi lokasi bersejarah penurunan bendera Union Jack pada 31 Ogos 1957 menandakan berakhirnya pemerintahan British dan bermulanya era baharu sebuah negara merdeka dan berdaulat.


"Justeru, pemuliharaannya bukan usaha untuk mengulang nostalgia, tetapi ikhtiar untuk memastikan sejarah terus hidup, difahami dan dijadikan pedoman dalam menghadapi cabaran masa depan," katanya.

DS Anwar bersama Menteri Kabinet melihat pameran pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad
DS Anwar bersama Menteri Kabinet melihat pameran pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad

Perdana menteri berkata begitu menerusi ucapan di Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Kuala Lumpur semalam.


Sementara itu tambahnya, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah melibatkan kesemua enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad selain pemuliharaan Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa mencerminkan hasrat membina sebuah Kuala Lumpur yang moden dan dinamik, namun tetap berakar pada sejarah serta nilai.


Langkah menghidupkan semula tapak-tapak warisan utama Kuala Lumpur di menerusi inisiatif WARISAN KL dapat memperkukuh kekuatan naratif sejarah dan peradaban negara dalam menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.


"Pemuliharaan bangunan warisan tidak boleh terhenti kepada struktur semata-mata, sebaliknya perlu dihidupkan dengan fungsi yang memberi manfaat kepada rakyat.


"Warisan tidak dilihat sebagai beban masa lalu, tetapi sebagai aset strategik yang mampu menjana pelancongan, menggerakkan industri kreatif, membuka peluang pekerjaan dan mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page