Pemulihan saluran paip gas Putra Height patuhi standard antarabangsa - JKKP
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memaklumkan perkembangan positif usaha pembaikan dan pemulihan talian paip gas yang bocor dan terbakar di Putra Heights pada 1 April lalu.
Menerusi satu kenyataan JKKP memaklumkan, paip sementara sepanjang 210 meter untuk menyalurkan semula bekalan gas (gas-in) sudah siap dipasang dan mula beroperasi semalam.
"Keselamatan sambungan paip diuji ketat melalui Ujian Tanpa Musnah (Non-Destructive Test, NDT) dan ujian tekanan selama 24 jam. Keputusan ujian disahkan JKKP bersama pihak ketiga bebas mendapati tiada sebarang kebocoran mahupun penurunan tekanan," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan,kerja pemulihan fasa pertama itu turut melibatkan penambahbaikan dan penstabilan tanah menggunakan struktur asas jambatan (bridge foundation support) bagi memastikan sokongan lebih kukuh pada saluran paip.
"Projek pemulihan ini amat penting bagi memastikan bekalan gas kepada penduduk dan perniagaan dapat dipulihkan secara selamat dan berterusan," tambahnya.
Insiden kebakaran paip gas tersebut mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakal 138 kediaman lain turut menerima impak kejadian tersebut.
Hasil siasatan yang diumumkan pada Isnin mendapati, paip berada dalam keadaan unsupported segment di atas tanah yang lembut dan lembap.
"Tekanan berulang (stress lines) dan garis keletihan (fatigue striations) menyebabkan kegagalan fizikal (physical failure) kepada saluran berkenaan.
Sementara itu JKKP memakumkan, fasa seterusnya akan membabitkan penggantian tiga talian paip gas baharu yang masing-masing adalah 200m panjang. Fasa ini akan mula beroperasi pada suku ketiga tahun hadapan.
"Beberapa kajian geoteknikal seperti pemetaan tanah, kajian lapisan batuan/tanah, dan pemantauan pergerakan tanah akan dijalankan untuk memastikan tapak pemasangan paip berada dalam keadaan stabil dan selamat pada jangka masa panjang.
"Struktur tapak konkrit (concrete slab) akan dipasang untuk menempatkan paip baharu dengan lebih selamat dan tahan lama," kata kenyataan itu.
Jabatan itu turut memberi jaminan bahawa semua kerja dijalankan dengan mengambil langkah keselamatan, termasuk untuk kawasan sekitar.
Mereka menegaskan bahawa, semua kerja akan dipantau secara rapi dan tanpa prejudis mengikut kod teknikal dan standard antarabangsa yang diiktiraf termasuk ASME B31.8 (American Society of Mechanical Engineers – Gas Transmission and Distribution Piping Systems).
"Sebagai langkah tambahan, pihak PETRONAS telah diarahkan untuk menyediakan akses pemantauan masa nyata (real-time) ke atas sistem injap isolasi pada talian paip bagi memastikan sistem boleh ditutup segera dan berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kecemasan," jelasnya.
Comments