Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa agama negeri akan memastikan nasib anak-anak tinggalan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) terbela termasuk dalam aspek pendidikan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah menyelaras dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan agensi mengurus zakat bagi memberikan bantuan kewangan kepada mereka.
''MAIN dan agensi zakat boleh mempertimbangkan bentuk bantuan kepada ahli GISBH yang memenuhi syarat pemberian bantuan iaitu tergolong dalam asnaf, fakir miskin.
''Dari sudut pendidikan, sekarang ini anak-anak yang berada di rumah perlindungan sudah pun menjalani persekolahan secara formal,'' katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk membela kebajikan keluarga dan memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak yang telah ditinggalkan GISBH akibat operasi Op Global.
Selain itu, Azli juga ingin tahu apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk memulihkan akidah pemimpin dan pengikut GISBH yang didakwa terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, kerajaan telah melancarkan Program Rehabilitasi selama 90 hari secara sukarela kepada seluruh ahli GISBH bagi memulihkan akidah pemimpin dan pengikut yang terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JAKIM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri telah memulakan projek rintis pada 7 November di rumah pemulihan MAIS dengan mengguna pakai modul Istitabah MAIS.
''Penilaian akan dilaksanakan pada setiap 30 hari selepas sesi pemulihan dilakukan.
''Berasaskan projek rintis ini, JAKIM dengan kerjasama MKN dan pelbagai agensi akan menjalankan program pemulihan dengan modul yang komprehensif.
''Modul tersebut meliputi aspek pemulihan akidah dan syariah, pendidikan, kaunseling, kesihatan, kenegaraan dan juga latihan kemahiran untuk persediaan kelangsungan hidup selepas kembali ke pangkuan masyarakat,'' jelas beliau lagi.
Untuk rekod kumpulan GISBH sebelum ini dikenakan tindakan oleh kerajaan kerana masih menganut aurat Muhammadiyah Al Arqam yang diharamkan oleh kerajaan dan fatwakan sesat oleh MAIN.
Kumpulan GISBH pula didakwa telah mengabaikan kanak kanak anggotanya dengan tidak memberi mereka pendidikan persekolahan yang wajar, manakala anggota dewasa pula diarah bekerja tanpa hak hak pekerja yang wajib, dan didakwa tidak dibayar gaji sebagaimana yang layak.
コメント