Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap pemukiman Jemaah Menteri yang berakhir hari ini berjaya meletakkan satu bentuk pemikiran tinggi dan membanggakan.
Perdana Menteri berkata, selepas ini kerajaan akan memberikan tumpuan kepada pelaksanaan program secara lebih berkesan dan menjadikannya sebagai ukuran kejayaan sesuatu polisi yang diumumkan.
"Mulai sekarang kita tidak hanya mempertahankan kementerian masing-masing tetapi (melaksanakan) program secara bersepadu, bekerja sebagai satu pasukan dan tidak merasa selesa dengan apa yang kita capai sekarang tetapi berupaya lebih keras tingkatkan tahap perkhidmatan kepada rakyat dan negara," katanya dalam sidang akhbar selepas pemukiman Jemaah Menteri di Cyberjaya hari ini.
Hadir sama timbalanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadhilah Yusof serta Ketua Setiusaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pemukiman pada tahun ini menggunakan format berbeza berbanding tahun lalu apabila Jemaah Menteri tidak diminta memberikan pandangan kerajaan.
Sebaliknya jelas beliau kerajaan mendapatkan input daripada pihak swasta, ilmuwan dan penyelidik yang terdiri daripada pakar tempatan dan antarabangsa.
"Ramai penyelidik, pakar dari luar yang memberikan sumbangan sangat bermutu dalam penghantar, saya dan rakan-rakan memberikan suatu senario, pemikiran dan sangat terbuka sedia mendengar pandangan, teguran, kritikan dan cadangan baharu," ujarnya.
Beliau berkata Jemaah Menteri bukannya mahu mempertahankan program dan polisi yang sedia sebaliknya ia diberikan penilain dan sedia menerima kenyataan ada ruang untuk diperbaiki.
"Ini yang menjadi tema dalam perbincangan kita, matlamatnya untuk tingkatkan keupayaan kita dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selain memacu pertumbuhan ekonomi negara dan memaknai falsafah MADANI dari sudut mengangkat keupayaan dan martabat negara menjadi lebih hebat," katanya.
Jelasnya, perbincangan juga diadakan secara menyeluruh melibatkan soal perpaduan dan kestabilan politik yang menjadi prasyarat selain membicarakan soal ekonomi bagi meningkatkan pelaburan domestik dan luar negara.
"Fokus kepada isu khusus meningkatkan mutu pendidikan negara seperti TVET, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dan beberapa isu yang telah kita cerakin mengenai beberapa pengumuman dasar seperti Transisi Tenaga, Transformasi Digital, Pelan Perindustrian dan reformasi perkhidmatan awam," katanya lagi.
Comments