Pemuda UMNO harus kembalikan demokrasi dalam parti, perangi rasuah - Hassan
- Suara Keadilan

- Jan 3
- 2 min read

Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, membincangkan hala tuju parti seharusnya juga menyuarakan pemulihan imej UMNO dan menentang rasuah.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar), konvensyen itu boleh dianggap penting menjelang Pilihan Raya Umum ke 16 dan Pemuda UMNO yang menganjurkannya harus menetapkan perjuangan yang lebih besar daripada 'keluar atau kekal dalam Kerajaan Perpaduan' demi memulihkan imej parti.
"Ini adalah satu inisiatif Pemuda UMNO yang penting, di mana Pemuda UMNO mengambil balik hak dan peranannya untuk melaksanakan demokrasi bersuara dalam parti yang di dalam beberapa tahun ini kelihatan mati," katanya dalam satu kenyataan.
Hassan menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang hak untuk mencampuri urusan dalaman UMNO kerana bukan ahlinya, namun hubungan peribadi dan sejarah keluarganya, iaitu ibu beliau yang menjadi ahli UMNO mendorongnya untuk bersuara.
Selain itu, katanya, beliau bersahabat dengan Presdien UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sejak menuntut di Universiti Malaysia.
"Sehingga ke hari ini walau kami berlainan parti politik, walau saya dianggap pengkritiknya yang keras tetapi kami tetap kekal sebagai sahabat. Kami memanggil antara satu sama lain dengan panggilan "Bung Zahid" dan "Bung Hassan"."
Dalam pada itu kata Hassan, UMNO yang sebelum ini merupakan parti gah orang Melayu telah begitu dalam terpalit imej korupsi berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hal itu menurut beliau, menyebabkan kejatuhan prestasi parti berkenaan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sehingga PRU 2022, apabila parti itu hanya memenangi 26 kerusi Parlimen.
"Punca kejatuhan UMNO ini pada hemat saya atas dua sebab utama. Pertama disebabkan gejala rasuah di kalangan elit pucuk pimpinan UMNO dan yang kedua UMNO sudah menjadi parti politik yang mengamalkan autokratik di mana demokrasi telah mati dalam parti, yang tiga Presiden awalnya sejak Merdeka adalah peguam-peguam belaka yang menjunjung demokrasi bersuara," katanya.
Mengulas peranan Pemuda UMNO, Hassan menegaskan bahawa sayap itu tidak seharusnya menumpukan kepada usaha menarik UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan, dalam masa sama mempertahankan kes 1MDB yang akan menjadikan imej parti lebih negatif.
"Adalah silap jika Pergerakan Pemuda UMNO dalam tempoh pilihanraya umum yang akan sampai setahun dua ini muncul sebagai juara mempertahankan pemimpin UMNO yang telah terpalit dan didapati bersalah dalam skandal 1MDB yang menyebabkan negara kita menanggung beban hutang berpuluh billion ringgit," katanya.
Sebaliknya, beliau mencadangkan agar Pemuda UMNO menuntut supaya satu Mesyuarat Agung Khas diadakan bagi membolehkan pemilihan Presiden UMNO dilaksanakan secara adil dan menentang korupsi.
"Pertama lawan dan tentang rasuah dalam kepimpinan UMNO dulu dan sekarang.
"Kedua kembalikan demokrasi ke dalam UMNO dengan jawatan Presiden UMNO mesti dipertandingkan dengan bebas. Jika ini dapat dilakukan maka Pemuda UMNO pimpinan Dr Akmal Salleh akan diiktiraf telah menjalankan tugas sejarahnya yang amat bermakna," katanya.




Comments