
Pengeboman membuta tuli ke atas penempatan orang awam Palestin di Semenanjung Gaza dikecam keras oleh Pemuda Kerajaan Perpaduan.
Menurut Pemuda Perpaduan, Perang Palestin-Israel perlu dinokhtahkan segera setelah mengambil kira kesengsaraan dan kehilangan nyawa orang awam yang tidak terkira jumlahnya dari kedua-dua belah pihak.
"Pelanggaran perjanjian oleh rejim Israel serta penindasan berterusan terhadap hak asasi rakyat Palestin menjadi jenayah yang tidak disemak dan diadili di muka pengadilan sejak sekian lama, sekaligus menyerlahkan sikap ‘double standard’ badan-badan antarabangsa.
"Masyarakat dunia sedia maklum sejak beberapa minggu lalu ketegangan yang semakin memuncak akibat sikap tirani rejim Israel telah memaksa Hamas melancarkan serangan terbesar, Operasi Taufan Al Aqsa untuk menamatkan kependudukan Israel yang tidak sah selama ini.
"Masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia perlu sedar peperangan yang berlarutan ini melangkaui kaca mata agama dan ianya jenayah kemanusiaan. Bantahan terbuka perlu dizahirkan," kata Pemuda Perpaduan dalam kenyataan pagi ini.
Tegas mereka, penentangan ke atas Israel adalah masa untuk rakyat Malaysia bersatu hati menunjukkan solidariti kepada Palestin yang mempertahankan kedaulatan dan hak rakyatnya demi menamatkan konflik peperangan yang tidak menguntungkan.
"Pemuda Perpaduan sekali lagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Palestin. Kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ke atas Palestin wajar dibela dan diberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.
"Pemuda Perpaduan berhimpun atas dasar dan semangat kemanusiaan, kepekaan, kecaknaan dan kepedulian kepada apa yang menimpa terhadap Palestin," kata mereka lagi.

Sehubungan itu, Pemuda Perpaduan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghadirkan diri dalam ‘Himpunan Solidariti Bersama Gaza’ yang akan berlangsung pada hari Jumaat ini, 13 Oktober 2023 di Perkarangan Masjid Negara selepas selesai Solat Jumaat.
Himpunan tersebut, kata mereka, untuk menyampaikan mesej jelas bahawa Malaysia menentang segala bentuk pencabulan perundangan hak asasi manusia sejagat serta menggesa pihak berwajib untuk bertindak tegas dan segera menghentikan segala bentuk kekejaman, penindasan dan ketidakadilan.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Adam Adli; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh; Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii dan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda.
Comentarios